Umno, DAP gesa tubuhkan RCI siasat audio bocor Hamzah


(Malaysiakini) – Umno dan DAP menggesa kerajaan menubuhkan sebuah suruhanjaya siasatan diraja (RCI) bagi menyiasat rakaman tular membabitkan Menteri Dalam Negeri yang didakwa campur tangan dalam pelantikan pegawai kanan polis.

Ahli Majlis Tertinggi (MT) Umno, Mohd Puad Zarkashi berkata rakaman audio yang diakui sendiri oleh Hamzah Zainuddin itu telah mencemarkan kredibiliti Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Justeru RCI perlu ditubuhkan untuk menyiasat perkara tersebut. Ini kerana PDRM adalah agensi penguatkuasa paling penting dan kritikal untuk negara.

“Ia mesti didukung kuat oleh pegawai yang profesional dan berintegriti. Barulah keadilan dan keselamatan terjamin,” katanya dalam satu kenyataan media.

Terdahulu, tular rakaman suara Hamzah antaranya menyatakan sokongan kepada seseorang yang dirujuknya sebagai “budak kita” dalam perbualan berhubung pelantikan pegawai kanan polis.

Semalam, Hamzah yang juga merupakan anggota parlimen Larut mengakui ketulenan rakaman tersebut namun menegaskan dia tidak melakukan sebarang kesalahan kerana berkata-kata begitu.

Ketua Polis Negara Hamid Bador pula menegaskan, dia tidak ada kena mengena dengan rakaman perbualan telefon tersebut.

Namun, menerusi sidang media terakhirnya semalam, Hamid mengakui tidak senang dan mempunyai hubungan tidak baik dengan Hamzah.

Menurutnya, menteri sepatutnya hanya terlibat dalam penggubalan dasar dan tidak harus terbabit dalam mengatur pelantikan pegawai kanan pasukan polis.

Turut senada menggesa penubuhan RCI ialah Anggota Parlimen Seremban Anthony Loke yang berpendapat siasatan perlu dilakukan kerana dakwaan ini datangnya dari ketua PDRM.

“Sudah tentu ini membawa maksud yang sangat tinggi dan tidak boleh disapu di bawah karpet begitu sahaja.

“Demi mengembalikan kewibawaan dan kredibiliti PDRM, penubuhan RCI untuk menyiasat segala pendedahan oleh Hamid adalah langkah yang wajib dilaksanakan oleh kerajaan,” katanya.

Loke turut menyifatkan tindakan berani Hamid mendedahkan isu yang membelenggu pasukan PDRM sebagai belum pernah terjadi sebelum ini.

“Dalam pengetahuan saya, tidak pernah seorang ketua polis negara yang bersara mengkritik tindak-tanduk menteri dalam negeri dengan begitu tajam dan terbuka, lebih- lebih lagi menuduh menteri campur tangan dalam urusan pentadbiran PDRM,” katanya lagi.

 



Comments
Loading...