Darurat bukan lagi isu, Agong cerminkan bijaksana


(Harakah) – RASA tidak puas hati terhadap sebarang polisi dan pendekatan Jamaah Menteri pimpinan YAB Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin sudah tidak wajar lagi dikaitkan dengan perisytiharan darurat oleh KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong. Darurat diisytiharkan oleh SPB Agong di bawah Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan adalah untuk memenuhi keperluan kuasa yang diperlukan oleh pihak Eksekutif bagi melaksanakan fungsi kuasa mereka lebih berkesan dan pantas. Lain-lain sumber kuasa adalah seperti termaktub dalam Ordinan Darurat (Kuasa-kuasa Perlu) 2021 untuk menangani wabak COVID-19.

SPB Agong begitu teliti apabila memperkenankan tempoh Darurat, iaitu setakat 1 Ogos 2021. Dalam Ordinan Darurat itu ditubuhkan Jawatankuasa Khas Bebas untuk menimbangkan keperluan bagi melanjutkan tempoh Darurat melangkau tarikh 1 Ogos 2021. Jawatankuasa Khas Bebas 2021 terdiri daripada pakar-pakar pelbagai bidang dan tokoh-tokoh politik di pihak kerajaan juga parti pembangkang, dipengerusikan pula oleh tokoh berwibawa iaitu mantan Ketua Hakim Negara. Fungsi Jawatankuasa Khas ini ialah untuk menimbangkan data-data dan sebarang maklumat penting termasuklah juga pandangan pihak lain (jika ada) bagi menasihati SPB Agong sama ada tarikh akhir Darurat pada 1 Ogos 2021 perlu dilanjutkan lagi.

Nasihat Jawatankuasa Khas ini berkedudukan lebih tinggi daripada Jamaah Menteri dari sudut skop bidang kuasa yang diberikan oleh Ordinan Darurat tersebut. Sebarang pandangan oleh pihak yang tidak bersetuju dengan tempoh Darurat atau cadangan berkaitan perlulah dikemukakan kepada Jawatankuasa Khas ini. Peliknya, meskipun parti pembangkang diwakili dalam Jawatankuasa Khas, masih kedapatan suara nakal yang mentohmah SPB Agong tidak bersikap adil, atau tidak melayani permintaan mereka.

Peruntukan Ordinan Darurat itu khususnya Seksyen 2 boleh dibaca oleh sesiapa sahaja sama ada dalam Bahasa Melayu, mahupun Bahasa Inggeris, cuma tidak dapat dipastikan jika teks dalam tulisan Jawi turut dibekalkan. Seksyen 2 menyentuh penubuhan Jawatankuasa Khas yang dimaksudkan di sini. Menurut sumber tidak rasmi, sudah 3 kali Jawatankuasa Khas ini bermesyuarat sejak keahliannya dilantik. Rakyat mungkin berminat untuk mengetahui laporan bagi setiap mesyuarat yang tidak dikategorikan sebagai sulit. Sehingga hari ini, tidak kedengaran perasaan tidak puas hati terhadap sebarang data dan keputusan yang dibincangkan dalam mesyuarat Jawatankuasa Khas itu. Lantaran, kenapa peranan SPB Agong yang dipersoalkan sedangkan tiada pertikaian dilaporkan dalam mesyuarat Jawatankuasa Khas itu. Adakah wujud motif lain yang tersirat untuk mencemarkan nama institusi Yang di-Pertuan Agong?

Cubaan mana-mana pihak untuk melepaskan kekecewaan mereka kepada perkenan SPB Agong atas perisytiharan Darurat pada pandangan penulis amat tidak wajar. Ordinan Darurat tersebut telah menyediakan forum yang bebas untuk menasihati Baginda yang mana Baginda perlu bertindak mengikut nasihatnya. Halakan tuntutan kepada Jawatankuasa Khas itu terlebih dahulu dan patuhi prosedur yang ada.

Kenyataan Istana Negara pada 24 Februari 2021 juga mengandungi penegasan bahawa Baginda bersedia untuk memanggil sidang Parlimen jika keadaan mengizinkan dan dinasihati oleh Perdana Menteri (PM). Kenyataan itu menunjukkan SPB Agong mematuhi prinsip keluhuran Perlembagaan. Hal ini kerana Baginda insaf bahawa ordinan tidak digubal sesuka hati untuk menggantung mana-mana peruntukan Perlembagaan Persekutuan mahupun Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri. Niat dan tujuan Baginda adalah semata-mata untuk memelihara kesejahteraan rakyat berdasarkan ruang lingkup yang dibenarkan oleh Perlembagaan, iaitu untuk menangani penularan wabak COVID-19.

Setiap pemimpin dan rakyat perlu berlaku adil kepada SPB Agong sebagaimana mereka ingin dilayani secara adil. Setiap pemimpin dan rakyat perlu memperhalusi setiap titah dan seruan SPB Agong seperti terkandung dalam Kenyataan Media Istana Negara. Baginda meletakkan keutamaan kepada rakyat yang majoritinya terkesan dengan ancaman wabak COVID-19. Lihat sahaja data yang ada akhir-akhir ini merekodkan jumlah kes baru harian melebihi angka 1,000.

Dalam seruan SPB Agong, didapati semua pihak dinasihati termasuklah anggota pentadbiran kerajaan. Baginda tidak bersikap kepartian, namun begitu sebagai pemerintah politik tertinggi di dalam negara, SPB Agong berhak menyampaikan teguran serta melaksanakan fungsi kuasa berlandaskan Perlembagaan Persekutuan.

Justeru, orang politik diseru agar tidak menyalahgunakan nama Institusi Raja untuk membina premis dan menyokong keputusan yang tidak sah. Institusi Raja mempunyai kedudukan, peranan dan fungsi yang perlu dihormati. Setiap nasihat dan seruan SPB Agong perlu diamati dengan hati terbuka.

Tidak salah jika semua pihak bersabar sehingga 1 Ogos 2021 untuk memberikan ruang kepada kerajaan dan semua ejensinya melaksanakan kewajipan mereka. Dua kewajipan yang SPB Agong tekankan kepada Kerajaan Baginda ialah untuk memerangi wabak COVID-19 dan melaksanakan agenda pemulihan ekonomi. Di samping itu, dapat difahami hasrat Baginda agar proses penvaksinan dapat dilaksanakan dengan lebih berstruktur dan keperluan untuk mendapatkan bekalan yang mencukupi diusahakan.

Tidak salah jika Kerajaan memberi komitmen bahawa Parlimen akan dipanggil bersidang selaras dengan kehendak Perkara 55 Perlembagaan selewat-lewatnya dalam bulan Ogos 2021 agar melenturkan rasa tidak puas hati pemimpin parti pembangkang juga penyokong mereka. Tatacara yang selamat sesuai dengan keadaan ketika itu boleh diperkenalkan mengikut kaedah undang-undang.

Akhirnya, seruan SPB Agong baru-baru ini agar semua pihak menghayati syiar bulan Ramadan untuk merapatkan jurang perbezaan, menyuburkan semangat perpaduan dan meningkatkan amal ibadah perlulah diraikan. Tiada manfaat kepada mana-mana pihak jika pada setiap masa bertelingkah dan bermusuh-musuhan. Manfaatkanlah bulan yang mulia ini untuk memohon keberkatan dan keampunan.

DATUK DR WAN AHMAD FAUZI WAN HUSAIN
Pengasas Jurispruden Watan merangkap Profesor Madya Fakulti Pengurusan Industri, UMP

 



Comments
Loading...