Agong berkenan terima menghadap Jawatankuasa Tamat Darurat


(Malaysiakini) – Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini memperkenankan Jawatankuasa Penamatan Proklamasi Darurat untuk menghadap baginda.

Menurut sumber yang rapat dengan jawatankuasa itu, sepucuk surat dari Istana Negara telah dikirim pagi ini kepada Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad, yang merupakan jurucakap jawatankuasa berkenaan.

Surat bertarikh hari ini tersebut menyatakan bahawa Yang Di-Pertuan Agong telah berkenaan untuk menghadap dengan jawatankuasa tersebut agar mereka dapat menyerahkan memorandum.

Majlis menghadap itu akan diadakan pada tarikh dan waktu yang akan ditentukan kemudian.

Malaysiakini telah menghubungi Khalid, yang mengesahkan perkara itu.

“Saya akan mengeluarkan kenyataan media mengenai perkara ini pada pukul 2 petang,” katanya.

Selasa lalu, bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad dan Presiden Amanah Mohamad Sabu serta Khalid hadir ke Istana Negara bagi membuat permohonan itu.

Ia bagi memohon Seri Paduka menamatkan darurat yang dinasihatkan oleh Perdana Menteri Muhyiddin Yassin, pada kadar segera.

 



Comments
Loading...