Orang Melayu Tak Marah Raja-Raja Tetapi Pemimpin Main Politik


(PN BBC) – Dakwaan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menyatakan orang Melayu tidak puas hati dan marah kepada Raja-Raja Melayu berikutan pelaksanaan darurat oleh kerajaan adalah satu tuduhan yang tidak berasas.

Timbalan Presiden Majlis Pemikir Muda Melayu Kebangsaan (MPMMK), Haslihelmy DM Zulhasli menegaskan hakikat sebenarnya rakyat kini sudah muak dengan sikap pemimpin-pemimpin di negara ini yang lebih mengutamakan politik berbanding kebajikan rakyat.

Menurut beliau, walaupun Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah bahawa ahli politik perlu bersama berganding bahu memerangi penularan wabak COVID-19, namun titah itu ibarat tidak dipedulikan oleh pemimpin di negara ini.

“Tidak benar rakyat marah kepada Raja-Raja Melayu disebabkan pelaksanaan darurat tetapi rakyat marah dengan sesetengah sikap ahli politik dan pemimpin yang lebih mementingkan politik peribadi berbanding fokus kepada memerangi wabak COVID-19 yang kini dilihat kembali meningkat semula.

“Tidak sepatutnya Tun Dr Mahathir mengeluarkan kenyataan sedemikian kerana bukan buat rakyat lagi suka terhadap tindakannya tetapi lagi marah dan menyampah kepada Mahathir.

“Ini kerana beliau seolah-olah menuduh rakyat pula tidak suka dengan keputusan Raja-Raja Melayu sedangkan rakyat di negara ini sentiasa menghormati keputusan Raja-Raja Melayu kerana rakyat amat memegang prinsip sepertimana di dalam rukun negara iaitu kesetiaan kepada raja dan negara,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Terdahulu, Mahathir mendakwa rakyat berasa marah kerana mereka kini hidup menderita selepas negara diletakkan di bawah perintah darurat atas permintaan kerajaan untuk tujuan politik, dan bukan bagi memerangi COVID-19.

Ahli Parlimen Langkawi berkenaan juga mendakwa kerajaan pimpinan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin juga dikatakan memberikan maklumat tidak mencukupi kepada Yang di-Pertuan Agong sehingga menyebabkan baginda tidak mendapatkan gambaran jelas mengenai situasi COVID-19 di Malaysia, sekarang.

Justeru itu, Haslihelmy menasihatkan ahli politik di negara ini agar menyahut dan mengamati titah Seri Paduka Baginda untuk bersama-sama kerajaan mencari langkah terbaik bagi menjaga kebajikan rakyat serta kembalikan semula ekonomi di tahap yang stabil akibat terkesan dengan wabak COVID-19.

“Para pemimpin perlu buka mata dan sudah tiba masanya polemik politik dihentikan buat sementara waktu. Berikan fokus anda sebagai ahli politik untuk menjaga keperluan rakyat yang mereka perluan perhatian daripada pemimpin di kawasan mereka.

“Apabila negara sudah stabil dan segala keperluan yang rakyat perlukan ketika ini sudah pun terlaksa. Barulah ketika itu, kalau nak berpolitik, nak adakan Pilihan Raya Umum pun boleh kerana rakyat ketika itu sudah bersedia,” katanya.

 



Comments
Loading...