Tun M sebenarnya takut dengan Najib – dakwa Puad


AHLI Majlis Tertinggi Umno, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi mendakwa Tun Dr Mahathir Mohamad hakikatnya ‘takut’ terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

(Malaysia Post) – Mohd Puad berkata, ini kerana Najib adalah penghalang utama untuk membolehkan Dr Mahathir melaksanakan ‘agenda besar’ beliau menaikkan anaknya, Datuk Seri Mukhriz Mahathir sebagai Perdana Menteri.

“Tun M kata dia sedia kerjasama dengan Perikatan Nasional (PN) di PRU ke 15. Asalkan tidak ada individu yang digelarnya ‘penyangak’.

“Dia dakwa seluruh rakyat Malaysia tahu susuk tubuh ‘penyangak’ yang dimaksudkannya. Semua orang tahu dia tuju kepada Najib

“Sebenarnya Tun M amat takut dengan Najib. Najib adalah penghalang utama agenda besar beliau untuk naikkan Mukriz sebagai Perdana Menteri,” katanya menerusi Facebook.

Mohd Puad mendakwa, beliau juga percaya paling Dr Mahathir tidak tahan ialah dalam semua survey populariti, Najib tetap nombor satu.

“Mukriz tidak masuk senarai. Tun M pula dalam senarai terbawah. Tetapi baguslah kalau PN terima Tun M balik.

“(Datuk Seri) Hamzah Zainudin pun cakap PN sedia terima sesiapa pun termasuk Tun M. Sekarang ini PN akan terima siapa sahaja kaki lompat,” katanya.

Menurut Mohd Puad, Dr Mahathir tidak perlu risau dengan Najib dalam PN kerana Umno sudah memutuskan tidak akan bekerjasama dengan Bersatu dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

“Bahkan Umno juga buat keputusan di PAU 2020 iaitu Umno akan keluar daripada Kerajaan PN.

“Maka kalau Tun M mahu masuk Bersatu atau PN masuklah. Rakyat sudah kenal beliau. Di mana saja beliau ada, akan ada masalah kronik,” katanya.

Sebelum ini, Dr Mahathir mengulangi pendirian sedia mempertimbangkan kerjasama dengan mana-mana pihak termasuklah PN hanya sekiranya tiada ‘penyangak’.

Beliau yang juga Pengerusi Penaja Pejuang berkata, situasi ini bukanlah bermakna beliau menyokong namun terbuka menjalinkan kerjasama berkenaan asalkan tiada penyangak.

“Dahulu, saya bekerjasama dengan parti lawan pun. Kalau tiada penyangak maka saya boleh rundinglah,” katanya.



Comments
Loading...