Tidak mustahil UMNO kerjasama Pakatan Harapan


(Utusan Malaysia) – Mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) UMNO yang dijangka berlangsung hujung minggu ini bakal menjadi penentu kelangsungan parti keramat itu menjelang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Selain agenda besar yang bakal dibincangkan iaitu menentukan hayat kerajaan Perikatan Nasional (PN), mesyuarat itu juga akan mencari kata putus sama ada pemilihan UMNO diadakan seperti dijadualkan atau ditangguhkan.

Desas-desus tersebar terdapat ‘dua kem’ akan cuba mempengaruhi keputusan MT itu untuk menangguhkan pemilihan parti semaksima 18 bulan manakala satu lagi kem pula mengumpulkan majoriti ahli MT mendesak pemilihan tetap diadakan pada Jun ini.

Mengulas mengenai perkara itu, Pemangku Ketua UMNO Bahagian Gerik, Datuk Aznel Ibrahim percaya MT mampu membuat keputusan terbaik berdasarkan suara majoriti dan bukannya mengikut suara Presiden, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.

“MT boleh buat keputusan terbaik. Apabila ada dalam jemaah, kena ambil keputusan, kalau keputusan MT kata tangguh, jadi kena ikut majoriti kata tangguh. Kalau keputusan MT kata buat (pemilihan), memang kena buat sebab ikut suara majoriti, bukan ikut suara Presiden,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Persoalan yang timbul adakah UMNO akan membentuk jajaran baharu dan bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) walaupun ia tidak dipersetujui para perwakilan dalam Perhimpunan Agung UMNO 2020 lalu, beliau berkata, dalam politik segala kemungkinan boleh berlaku.

Katanya, jika sebelum ini politik berpegang kepada asas perjuangan, namun situasi itu pada masa ini seolah-olah melihat keutamaan kepada siapa yang memerintah dan siapa akan menjadi ketua atau pemimpin.

Sebagai contoh, katanya, UMNO boleh bersama Pas atau membentuk kerjasama semula dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) bagi memastikan hak kepentingan orang Melayu Islam terjamin.

Namun, beliau membayangkan, tidak mustahil UMNO atau Barisan Nasional (BN) boleh juga akan bersama PH untuk membentuk kerajaan kerana kekuatan UMNO biarpun sebuah parti paling kuat tetapi masih tidak mencukupi membentuk kerajaan.

“Jadi parti-parti yang ada dalam negara kita ini akan mencari jalan untuk mencukupkan bagi membentuk kerajaan,” katanya.

Mesyuarat MT pada 25 April ini iaitu mesyuarat pertama UMNO selepas perhimpunan 28 Mac lalu, dikatakan akan membincangkan tempoh menarik sokongan kepada kerajaan PN.

Menurut sumber kepada Utusan Malaysia semalam, mesyuarat juga akan membuat keputusan akan membincangkan perkara diputuskan dalam perhimpunan sebelum ini dengan memberi mandat kepada Presiden dan MT untuk putuskan beberapa perkara.

Ini termasuk tempoh sokongan kepada PN dan pilihan raya umum mesti diadakan pada 1 Ogos atau tarikh sebelumnya jika darurat ditamatkan.

Sebelum ini, Ahmad Zahid berkata, sekiranya PN tidak membubarkan Parlimen sebelum atau selepas tempoh darurat 1 Ogos, UMNO akan menarik diri daripada menyokong kerajaan sedia ada.

Bagaimanapun, langkah UMNO untuk bekerjasama dengan PKR-PH hampir pasti apabila tersebar rakaman audio perbualan antara Ahmad Zahid dan Datuk Seri Anwar Ibrahim walaupun pada perhimpunan lalu menguatkan dasar parti No DAP, No Anwar.

 



Comments
Loading...