Guan Eng, suluhlah diri sendiri dulu…


(1Media) – Bekas Ketua Menteri Pulau Pinang dan bekas Menteri Kewangan, Lim Guan Eng menuduh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak lagi berkecuali dan bebas.

Beliau mahu isu kartel polis disiasat oleh badan itu. SPRM sudah menyatakan jelas bahawa itu urusan polis, biar polis selesaikan dahulu masalah “rumah tangga” mereka.

Guan Eng juga membuat pelbagai tuduhan dan menuduh lagi SPRM tidak menangani kes-kes berprofil tinggi membabitkan kerajaan.

Setelah agak lama menyepi tiba-tiba bekas menteri kewangan 22 bulan itu bersuara. Seolah-olah terjaga dari lena yang panjang. Semua orang salah, tanpa melihat kepada dirinya sendiri yang bergelumang dengan pelbagai tuduhan.

Umum mengetahui beliau juga mempunyai beberapa kes di mahkamah. Sepanjang 22 bulan berkuasa, SPRM telah digunakan semahu-mahunya dengan membuat pelbagai pendakwaan yang dikatakan ramai sebagai “pendakwaan berpilih dan berbaur politik”.

Malah pada 3 September 2018 (semasa Pakatan Harapan berkuasa), SPRM sendiri dikejutkan dengan keputusan Mahkamah Tinggi Pulau Pinang yang membebaskan bekas Ketua Menteri Pulau Pinang itu daripada tuduhan rasuah.

Guan Eng dibebaskan daripada tuduhan rasuah berhubung pembelian sebuah lot banglo dan tuduhan bersubahat dihadapi ahli perniagaan, Phang Li Koon (gambar atas), selepas pihak pendakwaan menarik balik kes itu.

Akibat keputusan itu SPRM sendiri mengeluarkan satu kenyataan yang menyatakan “SPRM ingin menegaskan bahawa keputusan menarik balik kes itu telah diputuskan oleh Pejabat Peguam Negara dan bukannya SPRM.”

Apa makna kenyataan itu? Mengapa SPRM sendiri pun terkejut dengan keputusan itu? Tidak perlulah diulas lagi.

Malah semasa kerajaan 22 bulan itu memerintah Ketua Pesuruhjaya SPRM juga diletakkan dengan seorang aktivis politik (diulang: aktivis politik) — yang tidak pernah berlaku dalam sejarah badan pencegahan rasuah itu.

Rakyat memerhati gelagat itu. Apa tujuannya? Adakah Guan Eng masih mendabik dada mengatakan SPRM ketika itu bebas dan berkecuali? Apakah SPRM sekarang sudah tidak bebas dan berkecuali?

Janganlah beliau cuba mengelirukan orang ramai. Sudahlah. Kalau saya, saya tidak akan tinggal di sebuah rumah yang dipertikaikan itu. Malu saya.

Kes itu mula timbul pada 17 Mac 2016 yang mengikut kronologinya, anggota Parlimen Tasek Gelugor ketika itu, Datuk Shahbudin Yahaya semasa sidang Dewan Rakyat meminta menyiasat isu pembelian hartanah di bawah harga pasaran bernilai RM2.8 juta oleh Ketua Menteri, Guan Eng di Jalan Pinhorn, George Town (gambar bawah).

Kita hairan mengapa Guan Eng cuba mengalihkan perhatian kepada kes-kes lain. Sedangkan beban yang beliau tanggung pun berat. Beliau sepatutnya menumpukan kepada kes-kes SPRM membabitkan dirinya yang masih aktif.

Misalnya, jika rakyat mungkin telah lupa pada 26 Julai 2020, Guan Eng hadir kali ke tiga bagi memberi keterangan kepada SPRM berhubung kes projek terowong dasar laut di Pulau Pinang bernilai RM6.3 bilion.

Pada 30 Jun 2020, SPRM menahan bekas pegawai tinggi Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang (PPC) bagi membantu siasatan dakwaan elemen rasuah dalam projek terowong tersebut.

SPRM turut memanggil beberapa lagi saksi untuk direkod percakapan mereka.

Ekoran kes itu, Guan Eng akan dibicara lagi pada 8 Jun 2021 ini.

Mengikut kronologinya (yang mungkin rakyat sudah lupa), kes projek mega terowong dasar laut di Pulau Pinang menjadi tumpuan utama rakyat negara ini, selepas kes SRC yang melibatkan bekas Perdana Menteri ketujuh, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Projek terowong sepanjang 7.2 kilometer itu menghubungkan Persiaran Gurney ke Bagan Ajam di Seberang Perai.

Ikuti antara kronologi kes berkenaan: (Dipetik dari Sinar Harian 7 Ogis 2020)

8 Jun 2016: Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof menyatakan kerajaan Pulau Pinang tidak pernah mohon kepada kerajaan Persekutuan untuk laksanakan projek pembinaan terowong dasar laut di negeri itu.

30 Mac 2017: Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof maklumkan belum terima maklumat terkini mengenai kajian kemungkinan dan reka bentuk terperinci projek terowong dasar laut Pulau Pinang atau jambatan ketiga.

22 Jun 2017: UMNO Pulau Pinang desak Lim Guan Eng memperincikan bayaran kepada pemegang konsesi untuk projek terowong dasar laut di negeri itu yang didakwa empat kali ganda lebih mahal.

9 Januari 2018: Beberapa pejabat agensi kerajaan negeri di Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar), Pulau Pinang serta syarikat berkaitan projek terowong dasar laut diserbu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

10 Januari 2018: SPRM tahan dua pengarah syarikat hartanah yang bertanggungjawab laksana projek berkenaan.

11 Januari 2018: 12 keterangan saksi diambil pasukan penyiasat SPRM yang terdiri daripada pegawai Pejabat Kewangan Negeri, Pejabat Perancangan Ekonomi Negeri, Pejabat JKR, Pejabat PTG dan pengarah urusan sebuah syarikat.

23 Januari 2018: SPRM tahan perunding kejuruteraan bagi membantu siasatan projek pembinaan terowong dasar laut di Pulau Pinang.

2 Mac 2018: SPRM tahan seorang lagi ahli perniagaan dipercayai terlibat menerima wang sejumlah RM3 juta bagi menutup kes siasatan projek mega terowong dasar laut yang bernilai RM6.3 bilion di Pulau Pinang.

30 Jun 2020: SPRM tahan bekas pegawai tinggi Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang (PPC) bagi membantu siasatan dakwaan elemen rasuah dalam projek terowong itu.

3 Julai 2020: SPRM ambil keterangan dua pegawai Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang.

6 Julai 2020: Tiga Exco Pulau Pinang iaitu Jagdeep Singh Deo, Chong Eng dan Phee Boon Poh beri keterangan di SPRM.

15 Julai 2020: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Jaya, Pulau Pinang Dr Afif Bahardin hadir ke ibu pejabat SPRM, dipercayai berkaitan siasatan projek terowong dasar laut Pulau Pinang.

22 Julai 2020: Lim Guan Eng beri keterangan berhubung siasatan projek pembinaan terowong dasar laut yang bernilai RM6.3 bilion di ibu pejabat SPRM.

25 Julai 2020: Lim Guan Eng beri keterangan kali kedua berhubung siasatan projek pembinaan terowong dasar laut yang bernilai RM6.3 bilion di ibu pejabat SPRM.

26 Julai 2020: Lim Guan Eng beri keterangan kali ketiga berhubung siasatan projek pembinaan terowong dasar laut yang bernilai RM6.3 bilion di ibu pejabat SPRM.

6 Ogos 2020:

9.10 malam – Guan Eng sampai di bangunan SPRM untuk memberikan keterangan.

9.30 malam – Guan Eng ditahan pihak SPRM jam 9.30 malam di Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Putrajaya.

7 Ogos 2020:

8.24 pagi – Bekas Menteri Kewangan, Lim Guan Eng keluar dari bangunan SPRM, Putrajaya menuju ke Mahkamah Khas Rasuah Jalan Duta berkaitan isu torowong dasar laut di Pulau Pinang.

9.06 pagi – Guan Eng tiba di Mahkamah Khas Rasuah Jalan Duta.

10 pagi – Guan Eng mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen KL atas tuduhan meminta suapan berhubung projek pembinaan jalan-jalan utama dan terowong di Pulau Pinang

Hakim membenarkan tertuduh dijamin dengan RM1 juta dan dua penjamin bagi pertuduhan tersebut

Sebutan kes pada 9 September 2020.

Berdasarkan kertas pertuduhan, Guan Eng ketika menjadi Ketua Menteri Pulau Pinang, didakwa meminta suapan 10 peratus daripada keuntungan yang akan diperolehi daripada Datuk Zarul Ahmad Mohd Zulkifli.

Suapan itu balasan sebagai upah bagi membantu syarikat milik Zarul Ahmad dilantik untuk melaksanakan Projek Pembinaan Jalan-Jalan Utama dan Terowong di Pulau Pinang.

Dia dituduh melakukan kesalahan itu berhampiran Hotel The Gardens, Lingkaran Syed Putra, Mid Valley City, pada Mac 2011 dan didakwa mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009, yang boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 atau mana yang lebih tinggi.

(SELAIN KES ITU): pada 11 September 2020, Guan Eng sekali lagi dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di Butterworth, atas dua pertuduhan menyebabkan dua lot tanah milik kerajaan negeri Pulau Pinang yang bernilai RM208.8 juta dilupuskan kepada syarikat pemaju berkaitan projek terowong dasar laut di negeri itu.

Guan Eng, 60, yang juga bekas Ketua Menteri Pulau Pinang, mengaku tidak bersalah selepas kedua-dua pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Ahmad Azhari Abdul Hamid.

Dipendekkan cerita, bahu Guan Eng pun terlalu berat memikul pelbagai pertuduhan rasuah yang dihadapinya.

Sama saja. Tuduh orang jahat, kita sendiri belum jelas. Bak kata pepatah Inggeris the pot calling the kettle black atau pepatah Melayu berbunyi menepuk air di dulang terpercik ke muka sendiri.

Suluhlah diri sendiri dulu…

 



Comments
Loading...