Biro Politik Bersatu putuskan, lawan UMNO


(Utusan) – Biro Politik Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) sudah membuat ketetapan akan mempertahankan kesemua kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang disandang wakil rakyatnya, andai berlaku pertembungan dengan UMNO dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Memberitahu perkara itu, Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu, Datuk Seri Mohd. Redzuan Md. Yusof berkata, keputusan itu dibuat selepas menilai kenyataan-kenyataan yang dibuat dalam Perhimpunan Agung UMNO 2020.

Beliau berkata, jika UMNO tidak mahu berganjak dengan meletakkan calon di kerusi yang kini dimiliki Bersatu, maka tiada pilihan lain kecuali melawan parti itu habis-habisan.

Jelasnya, usul terbabit merupakan salah satu perkara yang dibincangkan dalam mesyuarat MPT, semalam.

“Kita akur dengan kedudukan apa yang dilaungkan oleh UMNO. Kita mengulangi kesediaan untuk melawan setiap kerusi Parlimen seperti mana mereka telah menyatakan akan meletakkan calon di semua kerusi.

“Yang penting Biro Politik Bersatu sedang merangka gerak kerja ke arah itu. Jadi apa yang kita putuskan dalam biro politik, telah diangkat kepada MPT untuk diberi pengesahan,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Alor Gajah berkata demikian ketika ditemui pemberita pada program Jelajah Pak Wan Prihatin di Durian Tunggal di sini, hari ini.

Terdahulu, Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan ketika merasmikan perasmian sayap Wanita, Pemuda dan Puteri sempena Perhimpunan Agung UMNO 2020 menegaskan, kerusi UMNO adalah kerusi UMNO, dahulu, kini dan selamanya.

Beliau berkata, UMNO tidak akan terpedaya, dengan retorik kepentingan ummah dan perpaduan Melayu yang dibuat-buat.

Sementara itu, ketika ditanya sama ada masih wujud kebarangkalian hubungan UMNO dan Bersatu dapat dijernihkan sebelum PRU-15, Mohd. Redzuan berkata, ia bergantung kepada pemilihan parti itu yang sepatutnya berlangsung Jun depan.

Ujarnya, pemilihan itu penting bukan semata-mata memiih pemimpin yang bakal menerajui UMNO tetapi untuk mengembalikan perjuangan asal mereka.

“Kita berasa hairan, dalam Perhimpunan Agung UMNO selalunya disebut tentang segi perjuangan. Tetapi mereka lebih sebutkan politik untuk melindungi kluster mahkamah.

“Jadi saranan saya, bukan hendak jaga tepi kain orang. Dalam keadaan politik hari ini, masuk akal untuk mereka adakan pemilihan parti sebelum PRU-15,” jelasnya.

 



Comments
Loading...