Mesej tajam Takiyuddin ‘kau hilang aku – kawan yang betul-betul percayai mu’ sebelum ucapan Zahid cetus spekulasi


(FMT) – Apakah Umno akan hilang PAS sebagai “sahabat” apabila parti itu menolak kerjasama dengan PPBM pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15)?

Warga net jadi tak keruan apabila terbaca catatan Setiausaha Agung PAS, Takiyuddin Hassan, mengenai setiakawan, kira-kira sejam sebelum Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi, mengumumkan parti itu tidak akan bekerjasama dengan PPBM.

“Setiakawan sejati bukan sampai tegah kawan berkawan, kawan adalah rezeki persahabatan yang datang,” kata Takiyuddin di Twitter pagi tadi.

“Aku mungkin hilang kau – kawan yang tak hargaiku, tapi kau hilang aku – kawan yang betul-betul percayaimu,” katanya lagi, sambil memuatnaik gambar Zahid diapit Presiden PAS, Abdul Hadi Awang, dan Presiden PPBM, Muhyiddin Yassin.

Dalam ucapan dasarnya, selain menolak kerjasama dengan PPBM, Zahid juga dilihat menggesa PAS memberi komitmen penuh kepada kerjasama dengan Umno menerusi Muafakat Nasional dan tidak berpijak “di tapak berbeza”.

Beliau berkata, langkah itu “tidak menjanjikan sebarang keberuntungan, apatah lagi pertambahan kerusi”.

Beberapa pemimpin Umno sebelum ini menegur PAS kerana dilihat “berenang dalam dua kolam”, iaitu bersekutu dengan Umno menerusi MN dan menjadi parti komponen PN yang ditunjangi PPBM.

Walaupun didesak pelbagai pihak untuk memilih salah satu – Umno atau PPBM, PAS menegaskan ia tidak akan berbuat demikian, malah yakin ia dapat “mendamaikan” dua parti bersengketa itu dalam menghadapi PRU15.

Selepas ucapan Zahid, Pengerusi Jemaah Penasihat Umno, Tengku Razaleigh Hamzah, berkata Umno akan melawan PN dan “kalau PAS masih di situ, kita akan lawanlah dia”.

Sekiranya PAS mengambil keputusan untuk bersama Umno menerusi MN, parti Islam itu juga mesti menjauhi PN.

“Inilah keputusan penamatnya,” kata Tengku Razaleigh.

 



Comments
Loading...