DAP Selangor terbuka kerjasama dengan UMNO


(Sinar Harian) – DAP Selangor sentiasa terbuka untuk bekerjasama dengan UMNO berdasarkan prinsip perjuangan antara komponen Pakatan Harapan (PH).

Naib Pengerusinya, Ng Suee Lim berkata, dalam situasi politik tidak menentu pada masa ini semuanya bukan mustahil termasuk kerjasama antara parti itu dengan UMNO.

“Memang ada ura-ura atau spekulasi (keadaan politik hari ini) yang mengatakan ada kerjasama atau rundingan sedemikian (antara UMNO dan DAP).

“Bagi saya, politik semuanya serba mungkin dan kami di pihak DAP tidak mengambil pendekatan bermusuh untuk selamanya,” katanya pada Majlis Penyampaian Hal Milik Tanah Bagan Sekinchan di Xian Fashigongku Miao di Bagan Sekinchan di sini pada Selasa.

Suee Lim yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sekinchan berkata, DAP sedia berunding bukan sahaja bersama UMNO malah parti lain asalkan dalam kerangka besar perjuangan PH.

“Pandangan saya, kita (DAP) tidak ada masalah untuk menjadi kawan kepada mana-mana parti politik,” katanya.

Bagaimanapun katanya, pada masa ini terlalu awal untuk menyatakan sebarang kemungkinan sama ada kerjasama itu akan diputuskan atau sebaliknya.

“Kita menegaskan sebarang bentuk perbincangan dan formula kerjasama ini mesti ada prinsip yang tidak lari dengan perjuangan PH selama ini,” katanya.

Ditanya kesan sekiranya kerjasama antara UMNO dan DAP pada masa akan datang, Suee Lim berkata, dari sudut positif kerjasama itu bakal memberi impak besar terhadap landskap politik tanah air.

“Kalau kemungkinan ini berlaku, sama ada UMNO-DAP, atau UMNO-PH, sekiranya jadi realiti akan dapat menangani beberapa isu seperti menjadikan keadaan politik lebih stabil dan menangani isu perkauman.

“Kemungkinan isu-isu ini akan reda dan kita boleh fokus kepada pembangunan ekonomi dan sebagainya dapat dicapai,” katanya.



Comments
Loading...