Dijangka 7 hingga 8 ahli Parlimen pembangkang akan sokong kerajaan PN – Annuar Musa


(Astro Awani) – Beberapa lagi ahli Parlimen pembangkang dijangka mengikut jejak langkah Datuk Dr Xavier Jayakumar untuk meninggalkan parti masing-masing.
Ahli Parlimen Ketereh, Tan Sri Annuar Musa berkata, beliau difahamkan seramai tujuh hingga lapan orang lagi ‘kawannya’ memberi indikasi dan bersedia menyatakan sokongan kepada kerajaan Perikatan Nasional (PN).
Tindakan tersebut, katanya kerana prestasi baik yang ditunjukkan kerajaan khususnya dalam menyelesai isu COVID-19.
“Sebenar lebih ramai pihak termasuk ahli Parlimen yang bersedia untuk memberikan sokongan kepada kerajaan PN.
“Saya difahamkan selain daripada Dr Xavier, ada lagi tujuh atau lapan orang lagi kawan-kawan saya ahli Parlimen yang ada memberi indikasi bersedia menyokong (kerajaan).
“Yang penting, kalau kerajaan kita ini berprestasi, maka akan ramai bersedia menyokong. Sebab itu tugas kerajaan sekarang adalah terus fokus dengan melaksanakan tanggungjawab yang ada termasuk tentang COVID-19, pemulihan ekonomi, perpaduan kaum serta kestabilan politiknya,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Beliau berkata demikian selepas program ‘walkabout’ ke Kiosk Usahawan Muda Kota dan Anjung Floria Putrajaya, di sini.
Bagaimanapun, Annuar yang juga Menteri Wilayah Persekutuan enggan mendedahkan identiti ahli Parlimen berkenaan.
Sebaliknya jelas beliau, dalam politik yang bersifat dinamik, perkara itu tidak mustahil berlaku.
“Tidak payahlah nanti, saya sebut ada pula orang yang menafikan tetapi realitinya begitulah.
“Dalam politik ini dinamik, kalau ada orang cakap nak keluar, ada orang nak masuk.
“Ada dengar tak orang cakap nak keluar, nak mufaraqah. Kalau bila cakap nak keluar dalam politik, dia macam hukum fiziknya, setiap tindakan ada kesannya,” ujar beliau lagi.


Comments
Loading...