Umno berpeganglah pada realiti politik


Ahmad Abd Hamid, The Malaysian Insight

KE MANA sebenarnya arah tujuan dan pilihan UMNO? Bersandar kepada harapan yang belum pasti menjadi kenyataan atau berpegang kepada realiti yang lebih berpijak di bumi nyata?

Umno bagai di persimpangan sama ada bergerak bersendirian atau meneruskan kerjasama dengan parti berteras Melayu lain seperti Bersatu dan Pas, khususnya untuk menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15.

Walau pun Umno sudah memutuskan untuk meleraikan ikatan dengan Bersatu menjelang PRU-15, terdapat di kalangan pemimpin parti yang menganggap tindakan itu tidak bijak. Malah ada yang sudah secara terbuka menyatakan akan terus bekerjasama dengan Bersatu.

Umno Perlis dan Sabah telah menegaskan akan meneruskan kerjasama dengan Bersatu, jelas bertentangan dengan keputusan pucuk pimpinan. Ini dinyatakan oleh Ketua Perhubungan Umno Perlis, Shahidan Kassim dan rakannya dari Sabah, Bung Moktar Radin. Mungkin selepas ini akan ada lagi menyatakan sokongan sedemikian.

Pendirian mereka ini dilihat lebih realistik berbanding mereka yang lebih yakin dengan impian Umno akan berjaya dengan cemerlang walau pun memisahkan diri daripada rakan-rakan yang sama-sama mendokong kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Bekas Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN) merangkap Ahli Parlimen Ketereh, Annuar Musa pula sudah seringkali menekankan perlunya Umno terus bekerjasama dengan parti-parti pendokong PN, terutama Bersatu. Rasionalnya, kerjasama ini akan menjadikan mereka lebih kukuh untuk menang PRU15.

Namun apabila Menteri Wilayah Persekutuan itu bersuara mengenai hakikat ini dan kesangsiannya mengenai peluang parti itu dalam PRU15 tanpa kerjasama dengan Bersatu, beliau disanggah.

Apabila beliau bertanya sama ada Umno boleh menang atau tidak, dan jika tidak bersama dengan PN parti itu hendak bersama dengan siapa, beliau dianggap sebagai lemah, kurang keyakinan dan memiliki mentaliti ‘kalah’.

Di sebalik semua andaian negatif ini, apa yang disuarakan oleh Annuar, walau pun mungkin tidak disetujui oleh pucuk pimpinan Umno, ada kebenarannya. Ia bukan kenyataan lemah atau mengalah. Sebaliknya ia adalah kenyataan waras dan tepat, mengambil kira senario dan realiti politik semasa.

Untuk mengatakan beliau memperleceh, memperkecil atau tiada keyakinan terhadap parti, adalah sesuatu yang meleset. Ini kerana beliau telah begitu lama di dalam Umno. Parti itu adalah darah dagingnya. Justeru tidak mungkin beliau mahu parti yang didokongnya dihempas badai.

Pada masa sama beliau juga tentu menyedari kekuatan dan kelemahan parti. Kerana itulah beliau mahukan yang terbaik untuk menguatkan parti, khususnya pasca PRU ke-14.

Apa yang beliau luahkan ialah hasrat hati yang ingin melihat Umno terus relevan dan kukuh dalam arena politik negara. Jika untuk tujuan itu Umno perlu bekerjasama dengan parti lain apa salahnya? Ini tentunya lebih baik daripada hanyut keseorangan.

Namun sayangnya Umno kini bagaikan tidak lagi dapat menerima teguran atau pandangan berbeza. Jika ada yang memberi pandangan tidak sealiran dengan kepimpinan, mereka dianggap tidak sayangkan parti.

Lebih teruk lagi perbuatan itu dianggap anti parti, mengagungkan parti lain serta merosakkan parti sendiri. Sikap ini hanya menimbulkan andaian bahawa Umno kini berkecamuk sehingga wujud kem. Begitukah?

Jika ada saranan oleh pemimpin atau ahli mengenai perlunya Umno berganding bahu dengan parti lain demi mengukuhkan kedudukan Umno dan parti-parti Melayu, cepat sahaja cadangan itu disanggah dan dianggap membela parti lawan.

Malah ada yang menyuarakan agar pemimpin yang melontarkan pandangan seperti itu meninggalkan Umno jika merasa sudah tidak serasi bersama parti. Adakah melontarkan pendangan agar parti terus kukuh satu kesalahan?

Fahami yang tersurat dan tersirat. Apabila pemimpin Umno, termasuk Annuar Musa, menggesa Umno bekerjasama dengan Bersatu, seharusnya ia dilihat dalam konteks demi masa depan Umno, bukan untuk merosakkannya.

Perlu diingat, tarikh PRU-15 masih belum diketahui, tetapi pucuk pimpinan Umno sudah awal-awal memutuskan tidak akan mengadakan kerjasama dengan Bersatu. Seperti ditegaskan Annuar, dasar Umno menghadapi PRU akan datang sepatutnya ditentukan oleh pemimpin yang memimpin semasa PRU diadakan.

Justeru keputusan samaada Umno memutuskan hubungan dengan Bersatu atau tidak sepatutnya dibuat oleh kempimpinan parti yang bakal dipilih tahun ini, bukan oleh barisan kempimpinan sedia ada. Banyak boleh berlaku antara sekarang hingga PRU.

Kenapa Umno begitu yakin akan menang besar dalam PRU-15 jika berseorangan? Mungkin kerana persepsi bahawa sokongan kepada Umno dan BN kini meningkat.

Bagaimana kesimpulan ini dibuat? Adakah andaian semata-mata? Adakah dibuat kajian dan tinjauan berdasarkan sampling yang meyakinkan? Atau adakah kerana yakin setelah memenangi beberapa pilihan raya kecil (PRK) selepas PRU-14?

Sokongan rakyat tidak boleh disandarkan semata-mata atas andaian. Juga tidak boleh disandarkan kepada menang PRK. Perhitungan rakyat membuat pilihan dalam PRU dan PRK berbeza.

Juga tidak boleh terus menerus cuba meyakinkan rakyat dengan memburukkan pembangkang, terutama Pakatan Harapan (PH), kononnya gabungan itu menang kerana fitnah dan telah gagal mentadbir negara. Lama kelamaan rakyat tentu jemu.

Sepatutnya ambil iktibar daripada kemenangan PH dalam PRU14. Nilai kembali kenapa Umno dan BN boleh tumbang. Kaji kenapa Umno tewas banyak kerusi. Kaji betapa teruknya prestasi parti gabungan seperti MCA, MIC dan Gerakan.

Umno dan BN masuk gelanggang PRU-14 dengan keyakinan akan tetap menang. Kalah langsung tidak ada dalam minda. Tetapi apa berlaku? Semuanya kini menjadi sejarah.

Yang perlu diambil teladan ialah perubahan pattern atau corak pengundian pada PRU14. Ia menyerlahkan satu trend luar jangkaan dan belum pernah berlaku sebelumnya. Akibatnya Umno dan BN yang sudah berkuasa lebih enam dekad tumbang.

Kerana itu Umno perlu berhati-hati jika tidak mahu peristiwa pahit ini berulang. Tidak mustahil corak pengundian dalam PRU14 akan berterusan pada PRU15. Perlu diingat dalam PRU-15 akan ada lebih ramai pengundi baharu daripada golongan muda. Pilihan mereka sukar diramal.

Tentulah menarik jika Umno dapat menarik sokongan mereka. Ini hanya dapat dilakukan jika Umno kukuh dan mengukuhkan diri dengan bersama parti lain seperti Bersatu dan Pas. Kerana itulah kerjasama perlu diteruskan. Jika Umno sendiri bertelingkah dan wujud kem, bagaimana mahu meraih sokongan?

Nampaknya Umno begitu yakin akan menang PRU15 dan boleh membentuk kerajaan bersama rakannya dalam BN tanpa kerjasama dengan parti lain. Pastikah matlamat tersebut dapat dicapai? Berharap boleh tetapi natijahnya belum pasti. Risikonya tinggi.

Sepatutnya kekalahan dalam PRU14 dijadikan iktibar dan pengajaran untuk Umno berubah memperbaiki diri. Namun ‘hijarah’ ke arah itu masih belum nampak.

Cadangan baik untuk survival parti pun dipertikai dan tidak diterima. Umno tidak harus terus berada di tahap lama, masih beranggapan kuat dan gemilang sedangkan lanskap politik tanah air sudah berubah. Sesuaikanlah diri menurut perubahan jika ingin kembali hebat.

Apakah sudah terhantuk tidak mahu tengadah? – 10 Mac, 2021.

* Ahmad Abd Hamid, bekas Penolong Ketua Pengarang Kumpulan Utusan.

 



Comments
Loading...