Audio mirip suara Zahid sokong DAP, Anwar tersebar


(Malaysia Now) – Rakaman audio dengan suara mirip Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi dipercayai sedang memberi taklimat kepada pemimpin parti tentang kerjasama bersama musuh politiknya dalam Pakatan Harapan (PH) bagi membentuk kerjasama tular hari Ini dalam beberapa kumpulan perbincangan politik menerusi aplikasi Whatsapp.

Beberapa sumber dalaman Umno memaklumkan kepada MalaysiaNow audio itu dipercayai sebuah rakaman asli sebahagian daripada perbincangan mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno di Janda Baik, Pahang bulan lalu.

MalaysiaNow bagaimanapun masih tidak dapat mengesahkan dakwaan tersebut pada ketika ini.

Namun, ketika dihubungi, seorang pembantu Zahid berkata mengetahui mengenai kewujudan rakaman audio itu namun tidak boleh memberikan pengesahan tentang kesahihannya.

Dalam audio berdurasi kira-kira satu setengah minit itu, suara yang mirip kepada presiden Umno dipercayai merujuk kepada perbualannya dengan ahli Parlimen Teluk Intan dan timbalan setiausaha agung DAP Nga Kor Ming.

“Saya bagitahu Nga Kor Ming, empat perkata dalam Perlembagaan mesti you ikut. Satu, agama Islam sebagai agama Persekutuan, kedudukan raja-raja Melayu, hak istimewa orang Melayu, dan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan. Dia buat kenyataan media,” kata suara itu.

Audio itu kemudian merujuk kepada pemimpin DAP lain iaitu Setiausaha Organisasi DAP Anthony Loke yang turut mengeluarkan kenyataan media untuk menyatakan kesetiaan terhadap empat peruntukan Perlembagaan tersebut.

Suara lelaki itu kemudian merujuk mengenai perpaduan yang jarang berlaku antara ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) dan PH di Perak bagi menjatuhkan bekas menteri besar, Ahmad Faizal Azumu dari Bersatu Disember lalu.

Suara mirip Zahid itu juga berkata Umno dapat membentuk pakatan dengan Anwar Ibrahim, yang memimpin pakatan tiga parti yang terdiri daripada PKR, DAP dan Amanah.

“Dia dua kali masuk penjara. Katakanlah dari segi tindakannya bersih, hubungannya dengan Alla Ta’ala kita tak tahu, saya tidak pernah tengok,” kata suara lelaki dalam rakaman itu lagi.

Satu sumber berkata audio itu adalah salah satu daripada beberapa bahagian rakaman semasa mesyuarat Umno di Janda Baik Februari lalu.

Keputusan mesyuarat itu menetapkan Umno tidak akan bekerjasama dengan Bersatu pada pilihan raya akan umum datang.

Zahid dan Najib Razak merupakan sebahagian daripada pasukan Anwar ketika mereka bersama-sama berjuang dalam Umno pada 1990an.

Zahid juga adalah antara mereka yang ditahan pada tahun 1998 selepas Dr Mahathir Mohamad melancarkan tindakan keras terhadap penyokong Anwar berikutan pemecatan dramatik beliau daripada jawatan timbalan perdana menteri.

Zahid dan Najib adalah antara kumpulan pemimpin Umno yang mendakwa parti mereka diketepikan oleh Perdana Menteri Muhyiddin Yassin dalam pelantikan jawatan kerajaan.

Ketika Najib menerajui pentadbiran negara, Muhyiddin dipecat daripada jawatan timbalan perdana menteri pada 2015 kerana lantang mengkritik bekas perdana menteri itu mengenai isu skandal 1MDB.

Beliau kemudian berganding bahu dengan Mahathir bagi membentuk Bersatu, sebelum menjatuhkan Najib pada Pilihan Raya Umum ke-14.

 



Comments
Loading...