PH Jatuh Kerana Gagal Tunai Janji Kepada Rakyat – Abdul Hadi


(PN BBC Portal) – Kejatuhan kerajaan Pakatan Harapan (PH) kira-kira setahun lalu bukan berpunca daripada pertemuan sekumpulan ahli parlimen di Hotel Sheraton atau Langkah Sheraton yang berlaku selama beberapa minit sahaja seperti didakwa beberapa pihak semata-mata.

Sebaliknya Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, sebenarnya kejatuhan PH bermula dengan kemenangan dicapai mereka sangat rapuh, lantaran ramai rakyat tertipu dengan manifesto dan janji Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) yang dikemukakan laksana permohonan Puteri Gunung Ledang dalam cerita dongeng Melayu.

“Jika diingati kembali, antaranya janji PH untuk menurunkan harga minyak dalam tempoh kurang 24 jam, menghapuskan tol dan banyak perkara lagi.

“Bagi PH tidak salah menjanjikan sedemikian rupa, kerana itu semua bukannya kitab suci. Jika kitab suci sekalipun boleh disanggah, apatah lagi manifesto dan janji sebegitu,” katanya dalam kolum Minda Presiden PAS yang dikongsi di laman Facebooknya di sini sebentar tadi.

Abdul Hadi berkata, terdapat peristiwa perundangan berlaku, antaranya seperti usaha untuk membebaskan pemimpin-pemimpin tertentu laksana lampu Aladdin yang memanggil jin untuk dilakukan dengan cepat.

Katanya lebih parah ketika itu, PH berani membuat kenyataan yang mencabar kedudukan Islam, Raja-raja Melayu, hak istimewa bumiputera, dan beberapa asas dalam Perlembagaan yang lain. Semuanya berlaku sebaik sahaja mereka melangkah masuk ke Putrajaya.

“Kemudian mereka menunjukkan kegelojohan untuk menentukan kerusi siapa yang akan menjadi Perdana Menteri, laksana berebut pusaka ketika si ayah masih hidup segar. Masing-masing menunjukkan penumbuk sesama sendiri, selepas beberapa hari pilihan raya berlalu. Sehingga mereka yang bersama dalam PH mula menyedari bahawa sudah tiada harapan lagi, yang tinggal hanya harapan pada namanya sahaja.

“Kedudukan pakatan politik mereka rapuh, laksana sudah mahu bercerai dan bersedia membahagikan perabot rumah dan membahagi-bahagikan anak pinak. Bahkan sekarang pun mereka sedang berebut anak pinak antara PAN dan PKR, apabila slogan amanahnya berkecai, keadilannya terpilih,” katanya.

Abdul Hadi yang juga Duta Khas Perdana ke Timur Tengah berkata, PAS yang sudah lama menjadi pembangkang, mendapat rakan pembangkang yang baharu, namun parti sudah berpolitik sejak zaman penjajah lagi dan mempunyai pengalaman menyertai pilihan raya semenjak Pilihan Raya Pra-Kemerdekaan pada tahun 1955.

“PAS sudah terlalu biasa dengan sepak terajang politik, bukan seperti kebanyakan komponen parti politik dalam PH yang baru belajar politik setahun jagung.

“Inilah barangkali yang menyebabkan mereka hanya baru menyedari dan nampak Langkah Sheraton yang sangat pendek.

“Perubahan kerajaan PH kepada kerajaan PN dilakukan secara demokratik dan mengikut proses Perlembagaan Persekutuan dengan langkah paling tepat, tanpa menebuk atap dan masuk dari pintu belakang,” katanya.

Katanya, ramai pemerhati luar negara sangat kagum dengan pertukaran kerajaan tanpa ada setitik darah pun yang tumpah, tanpa demonstrasi Bersih yang mempunyai niat yang tidak bersih, tanpa berlaku pergaduhan dengan polis dan tentera, dan tanpa mengganggu pegawai kerajaan yang sedang bertugas.

“Apa yang berlaku adalah perubahan secara bersih, cuma sukar untuk membersihkan peninggalan yang dilakukan oleh PH dalam beberapa tahun apabila mereka membuat pelbagai kecamuk sewaktu era pemerintahan yang pendek. Bak kata orang-orang tua, hendak membaiki itu lebih susah daripada hendak merosakkan.

“Sebenarnya kami bekerja siang dan malam ketika PH sedang bergaduh siang dan malam. Kejayaannya berusaha mengambil yang jernih dan menolak yang keruh. Kami menerima rakan yang keluar daripada kolam PH yang dikeruhkan airnya oleh tangan-tangan mereka sendiri yang saling bercakaran.

“”Kini, mereka masih bercakaran antara satu sama lain kerana merasakan PRU-15 akan diadakan pada bila-bila masa sahaja. Ketika hendak mencadangkan agar dilaksanakan PRU-15 pun mereka sudah berkhilaf antara satu sama lain,” katanya.

Abdul Hadi berkata ada yang bersuara dan mendesak agar pilihan raya ditangguhkan kerana penularan COVID-19 yang berlaku. Ada juga yang mendesak perlu disegerakan pilihan raya dengan mewujudkan Prosedur Operasi Standard (SOP).

Tambah Abdul Hadi, semua orang mengetahui apa yang mereka telah lakukan sewaktu PH berkuasa tanpa COVID-19 dalam tempoh masa hampir dua tahun.

“Bandingkanlah pencapaian dan kejayaan yang dicapai oleh PN selepas genap setahun memimpin sebuah kerajaan dalam suasana wabak pada hari ini.

“Malangnya, masih terdapat manusia yang terpengaruh dengan sembang kosong PH, yang sedang melompat-lompat ingin mengambil alih semula kerajaan dengan kadar lebih segera berbanding Langkah Sheraton.

“Lebih malang juga, terdapat mereka yang bertindak laksana mendengar guruh di langit, air di dalam tempayan dicurahkan. Bahkan lebih dahsyat lagi, mereka yang melompat ke arah PH laksana orang lemas memeluk batu yang disangka pelampung penyelamat,” katanya.



Comments
Loading...