RAHSIA DIRI TOMMY THOMAS KINI TERDEDAH


Kamarul Yusoff

Saya terpaksa beri tabik hormat kepada Tommy Thomas kerana keberaniannya mendedahkan beberapa perkara sensitif di dalam kehidupan peribadinya dan kehidupan keluarganya sedangkan kesemua perkara ini mungkin sahaja boleh digunakan untuk menyerangnya kembali, umpamanya bagi mempersoalkan tahap patriotismenya kepada negara di mana beliau:

(1) Berani mendedahkan bahawa kedua-dua ibu bapanya dan kedua-dua ibu bapa isterinya, Sherry, adalah migran dari Kerala, India, di mana bapanya hanya berhijrah ke Malaya pada tahun 1939, ibunya hanya berhijrah ke Malaya pada tahun 1951 dan ibu bapa isterinya hanya berhijrah ke Malaya menjelang Malaya merdeka.

(2) Berani mendedahkan bahawa kedua-dua ibu bapanya, walaupun bekerja makan gaji dengan kerajaan, tidak menyokong banyak dasar kerajaan, tidak mengundi calon-calon Perikatan dan Barisan Nasional secara tetap dan konsisten, serta merupakan menyokong kepada pemimpin-pemimpin pembangkang yang berkarisma.

(3) Berani mendedahkan bahawa dia tidak mendaftar sebagai pengundi dan tidak pernah keluar mengundi sehinggalah pada PRU 2008 kerana berpendapat tiada guna dia keluar mengundi bila sistem pilihan raya telah dimanipulasi sebegitu rupa sehingga parti pemerintah akan tetap menang di dalam setiap pilihan raya yang dilangsungkan.

(4) Berani mendedahkan bahawa dia, isteri dan anaknya, dan kedua-dua ibu bapanya berhijrah ke Vancouver, Kanada, dengan mendapat taraf pemastautin tetap pada November 1988 kerana tertekan dengan kehidupan di Malaysia dan hanya kembali ke Malaysia pada April 1991 setelah menghadapi kesukaran dalam kerjayanya di sana.

(5) Berani mendedahkan bahawa penguasaan Bahasa Malaysianya adalah lemah serta bahawa dari mula beliau bertugas sehingga ke saat beliau meletakkan jawatan sebagai Peguam Negara semua peguam dan staf di Jabatan Peguam Negara bertutur, berbincang dan menyediakan dokumen dalam Bahasa Inggeris dengan/kepadanya.

Dan lebih berani lagi tentulah tindakannya mendedahkan perkara sensitif seumpama bahawa genetik sakit jiwa wujud dalam keluarganya, di mana bapanya mewarisi tekanan jiwa daripada neneknya, beberapa orang adik-beradik bapanya juga menghidapnya dan ia menyebabkan anak sulungnya, Rebecca, mati kerana membunuh diri di Melbourne, Australia pada 5 Julai 2014.

 



Comments
Loading...