Peguam kerajaan tidak boleh berjaya


(FMT) – Peguam kerajaan tidak mempunyai sikap dan dorongan kerja untuk cemerlang seperti rakan sejawatan dalam sektor swasta, menurut pemerhatian Tommy Thomas, peguam pertama daripada Badan Peguam yang dilantik menjadi peguam negara.

“Saya dapati peguam daripada Jabatan Peguam Negara (AGC) yang mewakili kerajaan tidak memiliki komitmen, semangat dan dorongan sama untuk berjaya seperti rakan mereka dalam Majlis Peguam,” katanya dalam memoirnya, bertajuk “My Story: Justice in the Wilderness”.

Beliau berkata, peguam sektor awam – timbalan pendakwa raya dan peguam persekutuan – mempunyai “sikap perkhidmatan awam”.

“Mereka adalah penjawat awam yang memperoleh pendapatan tetap dan menunggu pencen apabila bersara. Tidak ada insentif untuk menonjolkan diri,” tulisnya.

Thomas, yang menjadi peguam pada 1976, berkata dalam dunia sektor swasta yang berdaya saing, kebanyakan peguam berusaha untuk menarik perhatian, bukan hanya anak guam mereka, tetapi juga pihak lawan dengan harapan mereka akan dilantik pihak ini dalam kes lain.

“Sikap ingin bersaing, yang akan memastikan kemunculan peguam terbaik dalam bidang litigasi swasta, tidak sama dengan di AGC (sekurang-kurangnya di mata pemerhati luar).”

Thomas berkata, 1,200 peguam di AGC nampaknya berkhidmat dalam birokrasi besar dan selepas banyak kenaikan pangkat dalam perkhidmatan mahkamah dan undang-undang, ada yang dilantik menjadi hakim.

Thomas dilantik untuk kontrak dua tahun pada 6 Jun 2018, tetapi meletak jawatan pada 28 Feb tahun lalu, empat hari selepas perdana menteri ketika itu, Dr Mahathir Mohamad, menyerahkan surat peletakan jawatannya kepada Yang di-Pertuan Agong.

Katanya, semasa menjadi peguam negara, beliau berterusan menekankan tugas asas semua pegawai AGC kepada rakyat, yang melalui cukai pendapatan mereka, membayar gaji dan pencen pegawai.

“Perkara ini mempunyai kepentingan khusus dalam hal-hal jenayah. Kami adalah pendakwa raya, oleh itu kami mendakwa bagi pihak awam,” katanya, sambil menambah ia adalah satu penghormatan serta tanggungjawab untuk melakukan yang terbaik, “dan rakyat Malaysia berhak dan mengharapkan tidak kurang daripada itu”.

Sementara itu, hakim bersara Gopal Sri Ram berkata, keadaan semasa dalam kalangan peguam kerajaan dan swasta disebabkan sistem pendidikan.

“Sebagai permulaan, undang-undang harus diajar dalam bahasa Inggeris; jika tidak, peguam tempatan tidak dapat bersaing dalam persekitaran global yang mencabar,” kata Sri Ram yang dilantik sebagai pendakwa raya ad hoc pada 2018 dalam dua kes berkaitan 1MDB melibatkan bekas perdana menteri Najib Razak dan isterinya, Rosmah Mansor, dalam satu lagi perbicaraan rasuah.

Sri Ram, yang memulakan amalan guaman pada 1970, berkata peguam kerajaan dahulu yang berkelulusan empat “Inns” di England tidak kurang cekapnya berbanding peguam daripada Badan Peguam.

Antaranya Salleh Abas, Ghazi Ishak, Abu Talib Othman, Manjeet Singh Dhillon, Lim Beng Choon, Stanley Isaacs, T Selveinthranathan, Mary Lim Thiam Suan, dan Azizah Nawawi.

“Selepas menimba pengalaman dalam AGC, segelintir meninggalkan (AGC) dan berjaya dalam sektor swasta.”

Sri Ram juga mencadangkan Lembaga Kelayakan Profesion Undang-undang mengiktiraf beberapa universiti di negara Asia Selatan yang mempunyai kursus undang-undang terbukti berkualiti.

Katanya, banyak undang-undang penting Malaysia adalah olahan semula undang-undang India, dan buku teks terkemuka mengenai undang-undang kontrak, bukti, prosedur jenayah, kanun keseksaan, prosedur sivil dan undang-undang Perlembagaan semuanya ditulis pengarang India.

Katanya, Malaysia juga berkongsi dengan India, Pakistan, Bangladesh dan Sri Lanka sistem undang-undang umum yang diwarisi dari Britain, penjajah ketika itu.

 



Comments
Loading...