UMNO SERTAI PRU 15 SECARA BERSENDIRIAN?


Dr Kamarul Yusoff

Menarik sekali bila menerima perkhabaran bahawa majoriti UMNO Bahagian di Kelantan yang sudah bermesyuarat meluluskan usul “mendesak pucuk pimpinan menamatkan sokongan kepada Kerajaan Perikatan Nasional yang dipimpin oleh BERSATU” dan “mencadangkan kerjasama antara PAS dan UMNO dikaji semula berdasarkan perkembangan terkini setelah PAS menyertai komponen Perikatan Nasional”.

Jika beginilah gayanya, dan PAS kekal dengan menjadi komponen Perikatan Nasional, maka bolehlah diandaikan bahawa pertandingan tiga penjuru antara BN, PN dan PH Plus akan berlaku di hampir kesemua kerusi dalam PRU 15 yang dijangka akan dilangsungkan dalam suku pertama tahun ini melainkan jika BN dan PH Plus menjalinkan apa-apa bentuk kerjasama, sama ada kerjasama longgar atau kerjasama ketat.

Mengenai kerjasama UMNO dan PH Plus ini, Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, hari ini dilaporkan oleh Sunday Star sebagai berkata sukar (tough) untuk UMNO bekerjasama dengan PH Plus kerana pendirian UMNO tidak menerima DAP khususnya adalah jelas, tetapi jika percaturan baru ini perlu diterokai maka UMNO akan merujuk kepada akar umbinya sebelum membuat keputusan muktamad.

Berdasarkan kepada maklumat-maklumat yang ada, kemungkinan besarnya UMNO dan BN akan memasuki PRU 15 secara bersendirian tetapi jika ini benar-benar berlaku adalah dijangkakan juga bahawa sebahagian pemimpin UMNO tidak akan mengikuti langkah ini tetapi akan bekerjasama dengan Perikatan Nasional.

Apakah UMNO tidak akan terkesan jika sebahagian pemimpinnya keluar parti lagi?

 



Comments
Loading...