UMNO ‘anak tiri’ dalam PN, perlu keluar jika tidak mahu terkubur, kata Najib


(FMT) – Bekas presiden UMNO, Najib Razak, berkata parti itu di layan seperti ‘anak tiri’ dalam kerajaan Perikatan Nasional, justeru harus keluar daripada pentadbiran pimpinan Muhyiddin Yassin, jika mahu mempertahankan kedudukannya sebagai parti yang berpengaruh.

Beliau berkata UMNO akan terkubur jika terus menjadi sekadar “pengikut” dalam kerajaan PN dan diberikan peranan yang tidak sepadan dengan kuasa politiknya.

“Kita harus keluar, jika terus kekal (dalam PN) maka (kedudukan) UMNO akan berakhir sebagai parti politik yang berpengaruh,” kata Najib ketika merasmikan mesyuarat perwakilan UMNO Pekan selaku ketua bahagiannya.

“Jika UMNO berterusan seperti hari ini, iaitu hanya jadi salah satu komponen parti pemerintah, yang walaupun memainkan peranan besar mendukung kerajaan yang ada, tetapi dilayan sebagai anak tiri, maka tunggulah pengakhiran UMNO,” kata Najib.

Gesaan Najib untuk UMNO keluar dari kerajaan PN itu senada dengan beberapa pemimpin kanan parti itu, termasuk Naib Presiden UMNO Mohamed Khaled Nordin, Timbalan Pengerusi UMNO Johor Nur Jazlan Mohamed dan Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO Puad Zakarshi.

Beliau berkata pemimpin UMNO yang diberikan kedudukan dalam kerajaan Muhyiddin tidak boleh selesa atau menganggapnya suatu kebiasaan kerana ia akan “membunuh” UMNO secara perlahan-lahan.

Beliau berkata mereka tidak boleh beranggapan “asalkan ada jawatan menteri sudah gembira walaupun kualiti portfolio tidak sepadan dengan sumbangan UMNO kepada kekalnya kerajaan yang ada.”

Najib berkata, pengalaman parti itu menyertai kerajaan PN sejak sembilan bulan lalu harus membawa kesedaran tentang nasib UMNO jika terus bersama dengan kerajaan gabungan itu yang mempunyai majoriti rapuh di Dewan Rakyat.

“Kita harus insaf, sejak penubuhan UMNO, kita merupakan parti peneraju. Jika kita ambil apa yang berlaku sepanjang sembilan bulan ini dan menerimanya sebagai kebiasaan atau realiti baru, maka kita sebenarnya membunuh UMNO secara perlahan-lahan.

Najib berkata, model kerajaan PN yang ada sekarang, tidak akan mendatangkan kebaikan kepada negara dalam tempoh jangka panjang dan merugikan UMNO sendiri.

“Hari ini kita tidak menjadi penentu kepada dasar negara, jawatan berkaitan ekonomi dan kewangan tidak dipegang menteri UMNO. Kejayaan kerajaan menjadi kredit kepada orang lain, bukan kepada kita,” katanya.

Tambahnya, sejak era Perikatan dan Barisan Nasional (BN), UMNO merupakan parti induk dan menjadi peneraju dalam agenda serta hala tuju dalam pentadbiran kerajaan persekutuan.

Katanya, ia tidak sama seperti hari ini yang menyaksikan parti itu memainkan peranan yang tidak setara dengan sumbangannya.

“Kita merupakan parti induk sejak dahulu dalam kerajaan. Ia bukan seperti hari ini, yang menjadi pengikut.

“Kita bukan sahaja perlukan mentaliti kemenangan, tetapi perlu terjemahkan mentaliti kemenangan itu kepada strategi kemenangan di semua peringkat,” katanya.

Kerajaan PN pimpinan Muhyiddin Yassin akan hilang majoritinya di Dewan Rakyat jika UMNO menarik balik sokongannya, memandangkan parti itu blok terbesar dalam kerajaan.

 



Comments
Loading...