Pimpinan Melayu gagal, negara perlu ‘Kongres Rakyat’, terima meritokrasi, golongan ‘liberal pandai’, kata Zaid


Kepimpinan Melayu ketika ini tidak mempunyai ciri-ciri kemajuan dan dibelenggu sindrom penafian sehinggakan Malaysia mundur dan jauh ketinggalan, berbanding negara jiran seperti Indonesia dan Thailand, kata Zaid Ibrahim.

(FMT) – Bekas menteri undang-undang itu menggesa pemimpin Melayu membuka minda, menerima kebaikan meritokrasi, dan tidak cepat menolak apa sahaja yang dilabelkan ‘liberal’.

“Ubah lah sikit pendirian. Janganlah takut kapada mereka yang ‘liberal’ atau golongan yang pandai. Jangan lagi takut kepada meritokrasi, atau takut bangsa lain akan mengambil alih. Kita semua rakyat Malaysia.

“Beranilah diri mengambil pendekatan yang berbeza daripada apa yang kita gunakan lebih 50 tahun tanpa membawa kemajuan. Berapa lama kita rela menjadi negara mundur sebelum sesuatu dilaksanakan…untuk Malaysia bangkit semula,” kata Zaid kepada FMT.

Beliau berkata penyatuan Melayu yang diuar-uarkan sekarang hanya didorong keinginan menguasai Putrajaya, dengan pemimpinnya terikat kepada amalan politik lama yang memperalatkan sentimen rakyat, bukannya membela mereka.

“Kumpulan itu (kepimpinan politik) langsung tidak ada ciri-ciri yang membawa kepada kemajuan. Mereka masih berselindung bawah isu etnik. Alasan agama selalu ditimbulkan, hal-hal yang emosi menjadi mainan politik, sedangkan rakyat mahu mencari peluang kerja dan gaji yang mencukupi.

“Pemikiran pemimpin lebih tertumpu bagaimana rakyat boleh dikawal dan dipecah belahkan demi pilihan raya,” kata beliau.

“Mereka (juga) tidak berganjak dari naratif dulu, masih lagi mahu kumpulan mereka bersatu walaupun penyatuan mereka itu hanya semata-mata untuk menang pilihan raya,” kata Zaid kepada FMT.

Zaid yang pernah menyertai parti kerajaan dan pembangkang, berkata apa yang diperlukan Malaysia bukanlah Kongres Maruah Melayu (yang dianjurkan 2019) tetapi sebuah “Kongres Rakyat” yang menawarkan “muafakat tulen”, melibatkan semua parti dan badan merentasi kaum dan kecenderungan politik.

Beliau mengesyorkan pada hari kongres itu diadakan “biarlah mereka (peserta) bercakap secara bebas dan tanpa bimbang ditangkap bawah Akta Hasutan. Biarlah pada hari itu, tajuk yang dibenarkan untuk kupasan hanyalah tertumpu kepada soal ekonomi dan hal kesejahteraan rakyat.

“Isu cacamarba yang menjadi kegemaraan sesetengah pemimpin kita haramkan pada hari tersebut. Kita perlu mencari konsesus dan penerimaan dari kumpulan yang luas untuk menjayakan apa jua rancangan pembangunan negara ini, khususnya Rancangan Malaysia Ke-12,” kata Zahid.

Beliau berkata menerusi kongres ini, rakyat boleh menilai parti politik atau kumpulan mana mempunyai keupayaan membawa negara ke tahap lebih maju.

Zaid berkata pihak Istana juga perlu menyertai Kongres Rakyat berkenaan kerana “rakyat tahu penglibatan Istana dalam banyak aspek ekonomi dan pentadbiran berlaku secara aktif.

“(Di kongres itu)…kita akan berpeluang bertanya serta bertukar pendapat bagaimana kepentingan Istana dan rakyat jelata dapat diselaraskan dengan baik.

Beliau berkata pemimpin harus peka pada keinginan rakyat untuk mendapatkan kerajaan stabil dengan majoriti sihat supaya dasar-dasar berkesan dapat digubal dan dilaksanakan.

Zaid berkata nasib Malaysia tidak akan berubah, selagi pemimpin tidak menitikberatkan penggubalan dasar-dasar baik dan melibatkan golongan profesional, pintar, dan berakal tajam, supaya “campurtangan orang politik dapat dibendung.”

Beliau berharap Perdana Menteri Muhyiddin Yassin memberi pertimbangan yang sewajarnya kepada cadangan ini, selain mahukan “pemimpin kita menaruh sedikit kebimbangan mengenai masa depan negara.”



Comments
Loading...