Lihat cermin sebelum kritik orang lain, Najib beritahu Kit Siang


(FMT) – Bekas perdana menteri Najib Razak menyelar veteran DAP Lim Kit Siang atas serangannya integriti beliau, tetapi membisu berhubung janji mungkirnya berkait pertuduhan rasuah yang dihadapi anaknya.

Beliau berkata, jika Kit Siang bersedia meneliti hantaran di Facebooknya, beliau akan mendapati bahawa diirinya dimaki dan dikritik oleh ratusan ribu rakyat atas keengganan meminta maaf selepas kenyataannya terbukti salah banyak kali.

Merujuk kepada janji Kit Siang untuk bersara daripada dunia politik sekiranya bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad gagal menyerahkan kuasa kepada Anwar Ibrahim yang dibuat semasa kempen PRU-14, Najib berkata, Kit Siang dengan mudah melupakannya.

“Beliau masih buat tak tahu sehingga kini walaupun petisyen untuk beliau tunaikan janji ini sudah cecah 57,000 orang yang menyokong,” katanya, dengan menambah bahawa ia boleh dilihat di laman tinyurl.com/unclebersara.

Merujuk kepada kes rasuah melibatkan Lim Guan Eng Najib berkata, Ahli Parlimen Iskandar Puteri itu terus membisu berhubung pertuduhan rasuah yang dihadapi anaknya itu.

“Tidak pula beliau suruh anaknya letak jawatan atau rehat untuk menghadapi kes rasuah mahkamah,” katanya di Facebook.

Guan Eng yang juga bekas ketua menteri Pulau Pinang berdepan dua pertuduhan menyebabkan dua lot tanah milik kerajaan negeri bernilai RM208.7 juta dilupuskan kepada dua syarikat.

Beliau mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan itu.

“Kit Siang senyap apabila perbicaraan mahkamah rasuah banglo anaknya digugurkan separuh jalan setelah peguam anaknya dilantik sebagai peguam negara.

“Tak ada pula Kit Siang kata ini menghina proses perundangan negara. (Jadi, adakah) Kit Siang sangat berintegriti?”

Tommy Thomas yang dilantik sebagai peguam negara di bawah kerajaan Pakatan Harapan (PH), mewakili Guan Eng di mahkamah sebelum PH berkuasa.

Najib berkata, beliau turut dituduhnya membunuh timbalan pendakwa raya Kevin Morais, dengan mendakwa buktinya boleh didapati dalam satu “pendrive”.

“Bila saya suruh beliau beri ‘pendrive’, beliau membisu. Lalu beliau kata tak pernah tuduh saya pernah bunuh sesiapa pula termasuk Teoh Beng Hock, Altantuya dan Kevin,” katanya dengan merujuk kepada tiga kes pembunuhan berpofil tinggi tersebut.

Najib berkata, ketika Lim merupakan ketua pembangkang beberapa dekad lalu, beliau menuduh Mahathir yang masih menyandang jawatan perdana menteri menyebabkan Bank Negara (BNM) mengalami kerugian tukaran asing sebanyak RM33 bilion.

“Tapi (beliau) membisu pula bila kerajaan Mahathir tarik balik laporan polis hasil siasatan rasmi Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) skandal BNM. Ia kemudian klasifikasi kes sebagai Tiada Tindakan Lanjut (NFA) pada tahun lalu (sewaktu PH masih merupakan kerajaan persekutuan).

“Tiada seorang pun pernah bertanggungjawab atau pernah didakwa walaupun negara sudah lesap RM33 bilion tapi Uncle (Lim) okay sahaja asalkan anaknya (kekal sebagai) menteri kewangan ketika kerajaan Mahathir tarik balik laporan polis,” katanya.

Beliau berkata, kenyataan terbaru Lim ialah mengenai pembelian vaksin COVID-19 dengan mendakwa ia dibeli pada harga 20 kali lebih tinggi daripada kos sebenarnya.

“Setelah beliau dibuktikan amat salah, beliau membisu pula. Tak pohon maaf dan tak mahu mengaku,” katanya.

 



Comments
Loading...