Pelopor ‘gabungan besar pembangkang’ dicabar namakan pengganti Anwar
(Malaysiakini) – Setiausaha Pemuda PKR (AMK) Ahmad Syukri Razab mencabar pemimpin Pakatan Harapan (PH) yang disifatkan “obses” dengan idea gabungan besar pembangkang untuk menamakan calon selain Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri.
Katanya, mereka yang menyokong idea itu membayangkan PKR perlu mengalah dan mengetepikan kepentingan parti demi pembentukan gabungan berkenaan, dan hal itu, kata Syukri, mungkin termasuk juga cita-cita PKR untuk mengangkat Anwar sebagai perdana menteri.
“Adalah teramat salah dan sangat tidak bertanggungjawab jika ada kepimpinan PH yang mengatakan cita-cita untuk mengangkat Anwar sebagai perdana menteri itu sebagai kepentingan peribadi PKR.
“Walhal perkara ini telah diputuskan secara bersama sebelum pilihan raya umum (PRU) yang lalu.
“Jika ada pemimpin PH yang merasakan persefahaman ini perlu disemak semula, maka mereka perlu mengemukakan nama lain secara berani dan berterus-terang. Janganlah sekadar membaling batu dan sembunyi tangan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Kredibiliti Anwar untuk terus mengetuai gabungan PH semakin tercalar ekoran kegagalannya membuktikan dakwaan bahawa dia mempunyai majoriti yang cukup untuk membentuk kerajaan baru.
Presiden Amanah Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng sebelum ini menggesa satu anjakan politik semula dilakukan bagi menyatukan pihak pembangkang, yang kemudian tidak disenangi pemimpin PKR.
Beberapa tokoh PH yang lain turut mengangkat idea gabungan besar pembangkang.
Anwar sebelum ini berkata Majlis Presiden PH akan berbincang hal itu, meskipun tarikh mesyuaratnya masih belum ditetapkan buat masa ini.
Syukri mempersoalkan idea gabungan besar itu dalam keadaan Dr Mahathir Mohamad masih menolak kepemimpinan Anwar dan disifatkan pernah membelakangkan semangat persepakatan PH ketika berkuasa dahulu.
“Tanpa segan silu ada yang menyebut ‘manifesto bukan kitab suci’ yang menyebabkan rakyat meremehkan keseriusan PH dalam menunaikan janji.
“ […] Mahathir memberi posisi kepada Azmin Ali dan gerombolannya walaupun PKR tidak pernah mencadangkan nama mereka untuk diangkat sebagai Menteri. Akhirnya merekalah yang mendalangi pengkhianatan terhadap PH.
“Lalu apa sebenarnya formula ‘grand coalition’ yang dicadangkan mereka ini?” soalnya lagi.
“Nasihat saya kepada mereka-mereka yang terlalu ghairah dengan idea ‘grand coalition’ ini agar segeralah bermuhasabah diri kerana kenyataan-kenyataan yang mereka keluarkan sudah terlalu bernada ‘Tun M’.
“Atau mereka-mereka ini sememangnya sudah buta hati selepas disogok dengan jawatan menteri, senator dan GLC sepanjang 22 bulan PH menjadi kerajaan,” katanya.