Sidang media khas Anwar pada hari Isnin dibatal: alasan berita palsu


(Malaysia Gazette) – Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil menafikan presidennya akan membuat sidang media khas kali ketiga, Isnin depan.

Menurut pesanan di WhatsApp media parti itu, Fahmi berkata sebaran menjemput sidang media Datuk Seri Anwar Ibrahim itu adalah palsu.

“Palsu, tidak benar,” kata Fahmi.

Hari ini media menerima jemputan bahawa Anwar akan mengadakan sidang media di Hotel Le Meridien, Kuala Lumpur.

Jemputan media bertajuk ‘sidang media khas berkenaan satu pengumuman penting pasca berkenaan demi negara dan mandat rakyat itu mula diterima media sejak jam 7 malam tadi.

Astro Awani hari ini melaporkan Ahli Parlimen Port Dickson itu sudah mempunyai 113 sokongan dalam bentuk akuan bersumpah (SD).

Laporan memetik sumber itu berkata, Anwar yang juga Ketua Pembangkang sekali lagi akan cuba meyakinkan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bahawa beliau mempunyai bilangan sokongan yang mencukupi dari kalangan Ahli Dewan Rakyat.

Anwar pada 23 September lalu dalam satu sidang media khas berkata beliau sudah mempunyai jumlah sokongan yang disifatkan “kukuh dan meyakinkan” untuk menjadi Perdana Menteri baharu.

Beliau kemudian diperkenan mengadap Agong pada 13 Oktober, dan mempersembahkan dokumen yang didakwa mengandungi butiran sokongan majoriti ahli Parlimen yang diperlukan.

Pihak Istana Negara bagaimanapun memberitahu bahawa Anwar tidak mempersembahkan senarai nama sokongan terhadap beliau dan hanya mempersembahkan jumlah sokongan.

 



Comments
Loading...