PAS Perak serah, turuti maklum balas PAS Pusat


(Harakah) – PAS Negeri Perak menyerahkan serta menuruti segala maklum balas yang akan dikeluarkan oleh pihak PAS Pusat, demikian kenyataan ringkas Pesuruhjaya PAS Perak, Razman Zakaria.

“Mengambil kira kemelut politik yang berlaku dalam pembentukan Kerajaan Negeri Perak ketika ini, (maka) segala pendirian rasmi daripada PAS Perak adalah selari dengan apa yang diputuskan oleh PAS Pusat.

“PAS Perak mendoakan semoga Negeri Perak terus sejahtera dan rakyat Negeri Perak kekal aman dan diberkati,” ujar beliau yang juga merupakan ADUN Gunung Semanggol dan bekas EXCO Kerajaan Negeri Perak.

Dalam perkembangan berkaitan, Ahli Dewan Negara Perak. Datuk Seri Mohd Annuar Zaini memaklumkan bahawa Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah menitahkan wakil daripada ADUN BERSATU dan PAS menghadap baginda, hari ini.

Menurut beliau, pihak istana sedang menunggu wakil-wakil daripada kedua-dua parti untuk menghadap Sultan Nazrin pada bila-bila masa bagi mendengar pendirian mereka mengenai penubuhan kerajaan negeri yang baharu.

“Presiden Umno, Dato’ Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Perak, Datuk Saarani Mohamad telah memaklumkan status terkini pagi tadi dan status terkini yang dipersembahkan (kepada Sultan Perak) memang perlu meyakinkan.

“Dengan itu, selanjutnya baginda telah menitahkan wakil daripada BERSATU dan PAS untuk menghadap pada bila-bila masa hari ini,” katanya sebagaimana dilaporkan Bernama.

Mengenai istiadat mengangkat sumpah jawatan Menteri Besar Perak, Mohd Annuar berkata majlis itu hanya akan dilaksanakan setelah Sultan Nazrin yakin akan majoriti mudah yang diperoleh calon bagi menubuhkan kerajaan.

DUN Perak mempunyai 59 ADUN dan majoriti mudah adalah sebanyak 30 di mana jawatan Menteri Besar Perak kini kosong selepas Dato’ Seri Ahmad Faizal Azumu meletak jawatan Sabtu lepas.

Ia setelah beliau gagal mendapat sokongan dalam usul undi kepercayaan majoriti Ahli Dewan terhadap Menteri Besar semasa Persidangan DUN sehari sebelumnya.

Menerusi usul yang dibawa Dato’ Abd Manap Hashim (BN-Pengkalan Baharu), Ahmad Faizal yang juga ADUN Chenderiang hanya memperoleh 10 sokongan berbanding 48 menentang, manakala satu berkecuali.

DUN Perak merangkumi 25 BN, DAP (16), PAN (5), BERSATU (5), PKR (3) dan PAS (3), manakala Gerakan dan Bebas masing-masing satu kerusi.

 



Comments
Loading...