Untuk Menang PRU15, UMNO dan PAS Perlu Sertakan Bersatu – Timb Mursyidul Am PAS


(Suara TV) – Gabungan parti Melayu tidak seharusnya hanya UMNO dan Pas sebaliknya ia perlu melibatkan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), kata Timbalan Mursyidul Am Pas Datuk Ahmad Yakob.

Menteri Besar Kelantan itu berkata penggabungan parti Melayu itu lebih baik dalam usaha mengekalkan kuasa bagi menghadapi pilihan raya umum akan datang.

“Bagi saya lebih baik kita bersama, bukan sahaja dua (UMNO dan Pas) parti tetapi mesti ada parti Melayu lain bersama seperti Bersatu dalam usaha untuk mengekalkan kuasa.

“Kita juga perlu meraikan pelbagai bangsa dan agama dalam negara kita, kita perlu raikan kepelbagaian ini supaya ia jadi gabungan yang lebih besar.

“Bagi saya lebih besar lebih baik, satu bekas lidi kalau dah besar dan banyak lagi berguna,” katanya kepada pemberita hari ini.

Ahmad diminta mengulas kenyataan Naib Presiden UMNO Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin yang berpendapat tanpa Bersatu UMNO dan Pas sudah cukup kuat.

Mengulas lanjut, Ahmad berkata sudah lama parti-parti Melayu bertelagah dan berpecah belah yang mengakibatkan kerugian kepada orang Melayu dan Islam.

Sebelum ini SUARA.TV melaporkan Khaled mengingatkan bahawa sejak merdeka UMNO bukan hanya parti dominan Melayu tetapi merupakan parti dominan dalam BN yang dapat berfungsi dengan baik sebagai sebuah gabungan bersama MCA dan MIC.

Manakala Ketua Penerangan UMNO, Shahril Sufian Hamdan menegaskan UMNO merupakan parti dominan dan isu berkenaan tidak sepatutnya dipertikaikan sebaliknya ia hakikat yang perlu diterima semua pihak

Khaled dan Shahril mengulas kenyataan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah dua hari lalu yang mendakwa tidak timbul isu parti mana yang lebih dominan jika gabungan Bersatu, Pas dan UMNO dibentuk bagi menghadapi PRU15.

 



Comments
Loading...