Sokong Anwar: Surat didakwa diutuskan Zahid kepada Agong mula tular


(Astro Awani) – Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid didakwa telah memberi sokongan dan kepercayaan tidak berbelah bagi dan setia kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri seterusnya.

Dalam satu surat bertarikh 11 Oktober, 2020, yang didakwa dihantar beliau sendiri kepada Yang di-Pertuan Agong, Ahli Parlimen Bagan Datuk itu berkata, sokongan tersebut turut didukung Ahli-ahli Parlimen UMNO.

Selain nama dan tandatangan Ahmad Zahid sebagai pengutus, surat tersebut turut dilihat mempunyai tandatangan Ahli Parlimen Pekan Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai saksi akuan berkenaan.

“Tujuan mengemukakan warkah ini untuk seikhlasnya mengesahkan bahawa patik bersama YB Dato’ Seri Najib Bin Razak selaku Ahli Parlimen Pekan (P085) dan sejumlah Ahli Dewan Rakyat UMNO telah menarik balik sokongan dan kepercayaan kami kepada Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) YAB. Tan Sri Dato’ Muhyiddin Bin Hj Mohd Yassin, Ahli Parlimen Pagoh (P143).

“..dan memberi sokongan dan kepercayaan kami yang tidak berbelah bahagi dan setia kepada YB. Dato’ Seri Anwar Bin Ibrahim, Ahli Parlimen Port Dickson (P132) untuk dilantik sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-9,” menurut surat yang telah tular di laman media sosial itu.

Ketika ini Astro AWANI masih menunggu pengesahan daripada Ahmad Zahid atau pegawai Pejabat Presiden UMNO berkenaan surat ini.

Dalam surat tersebut, Ahmad Zahid didakwa berkata, mereka membuat pendirian seperti yang dinyatakan sehingga tamatnya Sidang Parlimen Ke-14, untuk mengelakkan pilihan raya umum sewaktu penyebaran COVID-19 dan kegawatan ekonomi.

Ujar beliau lagi, pendirian tersebut diambil berikutan keresahan dan kekecewaan UMNO dengan Bersatu, dan keperluan nyata untuk membuat perubahan kepada kepimpinan negara, dan demi kepentingan rakyat dan negara.

“Sehubungan itu, patik selaku Presiden UMNO bertanggungjawab memaklumkan kepada KDYMM Seri Paduka Baginda Tuanku bahawa YAB. Tan Sri Dato’ Muhyiddin Bin Haji Mohd Yassin, Ahli Parlimen Pagoh (P143), telah kehilangan sokongan dan kepercayaan majoriti Ahli Dewan Rakyat selaras Perkara 43(4) Perlembagaan Persekutuan.

“..dan YB. Dato’ Seri Anwar Bin Ibrahim, Ahli Parlimen Port Dickson (P132) telah mendapat dan mempunyai sokongan dan kepercayaan majoriti Ahli Dewan Rakyat untuk dilantik sebagai Perdana Menteri Ke-9, selaras Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan,” menurut kandungan surat itu lagi.

Ahmad Zahid dalam surat itu didakwa berkata, bagi tujuan tersebut, beliau sedia menjunjung titah Tuanku untuk menghadap sekiranya diperkenan dan dianggap perlu.

Dalam pada itu, Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Ahmad Maslan dalam ciapannya berkata, parti masih berpegang teguh kepada keputusan mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi sebelum ini iaitu mengukuhkan Barisan Nasional, memantapkan Muafakat Nasional, dan tiada DAP dalam kerjasama politik.

“Saya selaku Setiausaha Agung UMNO juga Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi tetap berpegang teguh kepada pendirian keputusan Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi UMNO sebelum ini iaitu – Kukuhkan #BN, Mantapkan #MN, dan Tiada DAP.

“Tiada hubungan dengan pimpinan yang bersepakat dengan DAP seperti Anwar Ibrahim dan Tun Dr Mahathir Mohamad,” katanya lagi.

 



Comments
Loading...