Melayu berisiko jadi lebih teruk dari Rohingya, Melayu Champa
(Ismaweb) – Orang Melayu berdepan risiko besar menjadi kaum yang terbuang di tanah air sendiri, seperti yang berlaku kepada etnik Islam Rohingya dan Melayu Champa.
Ini semua tidak mustahil berlaku sekiranya masalah berkenaan Tanah Rizab Melayu tidak ditangani secara serius dan bersungguh-sungguh mulai dari sekarang.
Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan menegaskan, agenda ini merupakan antara faktor utama mengapa pihaknya menganjurkan Deklarasi Cyberjaya 10.10.2020.
Beliau tidak mahu melihat bangsa Melayu yang suatu ketika dahulu dihormati dunia menerima nasib yang sama seperti dialami oleh penduduk di Palestin, Yaman, Syria termasuk Siam.
“Sehubungan itu, kita harap perjumpaan hari ini menyatukan hati-hati dan mengelakkan pergaduhan dan perbezaan.
“Pergi kepada persamaan,” katanya dalam ucaptama Majlis Menandatangani Memorandum dan Nota Permuafakatan bersama badan bukan kerajaan (NGO), agensi kerajaan dan syarikat korporat di Malakat Mall, di sini hari ini.
Terdahulu, 36 pertubuhan membabitkan NGO, agensi kerajaan serta syarikat korporat tempatan menandatangani memorandum persefahaman (MoU) sempena Deklarasi Cyberjaya 10.10.2020.
Mengulas lanjut, Nadzim menyifatkan, masalah yang dialami orang Melayu ketika ini amat luar biasa dan memerlukan semua pihak bersatu hati dalam mendepaninya.
Sementara itu, beliau menegaskan, hak dan maruah umat Islam perlu dibela bermula dengan pergerakan ekonomi.
Jelas beliau, sistem Islam sudah cukup sempurna tetapi malangnya umat itu sendiri tidak mengikuti syariat yang ditetapkan agama.
“Jadi hari ini kita bawa perubahan, walaupun kecil tetapi kita bawa perlahan-lahan. Kita bermula deklarasi ini untuk bersatu hati dahulu,” kata Nadzim.