Pemimpin UMNO yang menyokong Anwar wajar dipecat


TUN ABDUL HAMID

“Mengikut kenyataan DS Ismail Sabri yang dibuat di Sabah, MT dan ahli-ahli Parlimen UMNO telah membuat keputusan:

1. Jika hendak menyokong sesuatu gabungan, ia mestilah dibuat secara en bloc, bukan secara individu;
2. Sesiapa yang memberi sokongan secara individu akan dipecat dari parti;
3. Sokongan tidak akan diberi jika dalam gabungan itu ada DS Anwar atau DAP.

Saya percaya apa yang dikatakan oleh DS Ismail itu.

Adalah jelas, jika kumpulan 19 itu terlibat, mereka telah melanggar keputusan-keputusan itu. MT patut keluarkan surat tunjuk sebab kepada mereka. Jika mereka tidak dapat memberi jawapan yang memuaskan, mereka patut dipecat. UMNO perlu membersihkan diri daripada ahli-ahli, walau Presiden dan bekas Presiden, yang tidak setia kepada parti.”

KOMPLOT SEPTEMBER 2020: APA KESANNYA?

Entah mengapa, apabila saya terbaca dakwaan DS Anwar Ibrahim bahawa beliau telah mendapat majoriti bilangan ahli Parlimen yang menyokongnya untuk menubuhkan kerajaan baru dan menunggu untuk menghadap DYMM SPB Yang di-Pertuan Agong (YDPA) di masa terdekat, saya tidak fikir peralihan kuasa akan berlaku.

Jika dakwaannya benar pun, saya harap, malah percaya, YDPA akan membubarkan Parlimen dan PRU15 akan diadakan.

Apabila terbaca pula berita YDPA masuk IJN dan tidak akan menerima sesiapa menghadap, saya fikir tentu akan ada ahli-ahli Parlimen, terutama sekali yang dikatakan daripada UMNO itu, yang akan undur balik.

Ini kerana pada masa ini UMNO nampak semakin kuat. Gandingannya dengan PAS, jika berterusan, disokong oleh tsunami patah balik orang Melayu, akan membolehkan UMNO dan PAS menambah bilangan ahli-ahli Parlimennya. Oleh itu, mengapa mereka hendak meninggalkan PN pada masa ini?

Sebaliknya, mungkin ahli-ahli Parlimen itu disogok, dijanjikan jawatan Menteri dan lain-lain, atau mereka merasakan kerajaan PN tidak selamat kerana mampunyai majoriti yang sangat nipis dan boleh tumbang bila-bila masa dan menamatkan tempoh mereka menjadi ahli Parlimen. Dengan menyokong kerajaan baru, mereka mengharapkan kerajaan baru itu akan lebih kuat dan kekal hingga ke akhir penggal yang bererti mereka dapat menjadi ahli Parlimen sekurang-kurangnya selama dua tahun lagi.

Kemudian keluar pula kenyataan DS Zahid Hamidi, selaku Presiden UMNO. Beliau mengatakan ramai ahli-ahli Parlimen UMNO yang menyokong DS Anwar, beliau menghormati tindakan mereka dan beliau tidak boleh menghalang mereka.

Membaca kenyataan itu, saya terus terfikir bahawa DS Zahid terlibat dalam komplot itu. Mengapa beliau begitu rela dengan apa yang berlaku itu? Ingat semula kata-katanya apabila DS Najib didapati bersalah oleh Mahkamah Tinggi. (Rujuk rencana saya bertajuk “Adakah UMNO keluar PN kerana marah Najib didapati bersalah?” (04.08.2020)). Kenyataan itu seolah-olah hendak demoralize ahli-ahli Parlimen UMNO lain supaya turut serta.

Kemudian keluar pula senarai 19 orang ahli Parlimen UMNO yang dikatakan menyokong DS Anwar. Kita boleh bahagikan mereka kepada tiga kumpulan. Kumpulan pertama terdiri daripada DS Najib, DS Zahid dan pemimpin-pemimpin UMNO lain yang sedang menghadapi pertuduhan rasuah, penyalahgunaan kuasa dan pecah amanah. Kumpulan kedua terdiri daripada pemimpin-pemimpin UMNO yang pernah menjadi Menteri dan Menteri Besar.

Kumpulan ketiga adalah ahli-ahli Parlimen biasa.

Reaksi spontan saya adalah seperti tidak percaya bahawa mereka sanggup memecahbelahkan UMNO, meninggalkan PN, menyertai DS Anwar dan bekerjasama dengan DAP.

Mari kita lihat alasan-alasan yang mungkin menyebabkan mereka berbuat demikian. Bagi kumpulan pertama, mungkin mereka telah dijanji atau mengharapkan pertuduhan terhadap mereka akan ditarik balik. Jika itulah yang dipersetujui antara mereka dengan DS Anwar atau yang mereka harapkan, ia sangat-sangatlah mendukacitakan.

Ia menunjukkan bekas Presiden PKR yang juga bekas Timbalan Pedana Menteri dan bakal Perdana Menteri; bekas Presiden UMNO dan bekas Perdana Menteri; Presiden UMNO dan bekas Timbalan Perdana Menteri; bekas Menteri dan ahli-ahli Parlimen, masih tidak faham sempadan bidang kuasa Eksekutif dan kebebasan Peguam Negara.

Mereka seolah-olah berfikir kerajaan boleh mengarahkan Peguam Negara menarik balik pertuduhan atau semua Peguam Negara adalah seperti TS Tommy Thomas yang menarik balik pertuduhan terhadap Lim Guan Eng, Ahli Parlimen, Ahli DUN dan penyokong-penyokong PH.

DS Najib yang telah disabitkan dan dihukum pula mungkin mengharapkan DS Anwar akan memohon pengampunan bagi pihaknya seperti yang dilakukan oleh Tun Dr. Mahathir mengenai DS Anwar apabila PH berkuasa. Saya telah menghujahkan bahawa ia adalah penyalahgunaan kuasa oleh kerajaan dan Lembaga Pengampunan. (Lihat rencana-rencana saya bertajuk “Pengampunan Dato’ Seri Anwar atas dasar apa?” (12.05.2018); “Kuasa pengampunan”(03.05.2018); “Pengampunan Dato’ Seri Anwar dan Keadilan kepada Saiful”(14.05.2018); “Kuasa di atas keadilan” (31.08.2018); “Pengampunan dan pembatalan kehilangan kelayakan untuk menjadi ahli Parlimen” (11.10.2018) dan “Peletakan jawatan Yang di-Pertuan Agong dan selepasnya” (09.01.2019)).

Mengenai kumpulan kedua, kemungkinan mengapa mereka menyokong penubuhan kerajaan baru itu ialah kerana mereka tidak mendapat jawatan dalam kerajaan TS Muhyiddin. Maka mungkin mereka mengharapkan sesuatu daripada kerajaan DS Anwar.

Mengenai kumpulan ketiga, mereka mungkin merasa lebih selamat mengikuti Presiden parti dan bekas Presiden parti dan mengharapkan kerajaan baru akan dapat bertahan hingga ke akhir penggal dan mereka juga akan dapat menjadi ahli Parlimen hingga ke akhir penggal.

Kita perhatikan, jika benar pun kumpulan 19 orang ini menarik balik sokongan mereka terhadap TS Muhyiddin dan menyokong DS Anwar sebagai Perdana Menteri, mereka tidak melompat parti.

READ MORE HERE

 



Comments
Loading...