Perikatan Nasional Boleh Tumbang Bila-Bila Masa


(Borneo Today) – Ambil iktibar ketidak-stabilan politik di peringkat persekutuan.

Demikian peringatan diberikan Timbalan Ketua Wirawati Warisan, Jo-Anna Sue Henley Rampas.

Beliau berkata, rakyat Sabah seharusnya bersepadu bagi memastikan kemenangan berpihak kepada Warisan Plus yang lebih stabil dan mempunyai kerjasama yang kukuh antara semua rakan sekutu.

Katanya, pertelingkahan yang bermula antara UMNO (BN) dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) sejak peringkat awal cukup memperlihatkan ketiadaan kerjasama antara kedua-dua parti tersebut.

Diperingkat pengagihan kerusi pun mereka sudah gagal mencapai kesepakatan. Bagaimana mereka ingin sepakat untuk menentukan siapa Ketua Menteri.

“Malah, jika dilihat STAR, PBRS dan PBS kini bercakaran sesama sendiri.

“Arthur Kurup secara terang-terangan menyerang STAR manakala PBS pula tidak mahu memberi laluan kepada STAR dengan menggugurkan calon-calon mereka di kawasan-kawasan yang bertindih.

“Ini menunjukkan tiada kesepakatan dan perpaduan yang wujud antara parti-parti komponen Perikatan Nasional (PN) Sabah ini.

“Disebabkan taksub untuk berkuasa, mereka akan membawa kepada perpecahan kaum di Sabah kerana ideologi politik yang berbeza,” ujarnya.

Jo-Anna berkata, sekiranya PN mentadbir negeri ini, pergelutan kuasa ini akan berterusan.

Ia bukan sekadar untuk menentukan Ketua Menteri, Menteri, ia akan berlanjutan sehingga pemilihan pengerusi syarikat berkaitan kerajaan (GLC) mahupun pemimpin akar umbi seperti ahli Majlis Daerah, Ketua Kampung, Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat dan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK).

“Berbeza dengan Warisan, kita tidak pernah mengkhianati kepercayaan rakyat Sabah.

“Rakyat memberi kepercayaan kepada kita untuk berjuang menentang rejim kleptokrasi Umno/BN yang korup walaupun kita berpeluang untuk menyokong kerajaan PN yang diketuai oleh Muhyiddin Yasin apabila kerajaan PH tumbang pada Mac lalu.

“Setiap undi yang diberikan kepada Warisan Plus amat bermakna sekali kepada kami semua kerana ianya menunjukkan sokongan rakyat Sabah terhadap idea perpaduan (Unity), perjuangan menuntut dan mempertahankan hak-hak serta keistimewaan Sabah dan pemilikan ekonomi oleh rakyat Sabah yang kami ketengahkan,” katanya dalam satu kenyataan hari Selasa.

Jo-Anna berkata, Muhyiddin bukanlah seorang pemimpin yang dapat menerima asakan dan tekanan politik yang boleh diharapkan oleh rakyat Sabah.

“Kedudukan Muhyiddin sebagai Perdana Menteri tidak kukuh dimana beliau diancam oleh undi tidak percaya bila-bila masa sahaja.

“Jika dia (Muhyiddin) tumbang, parti-parti seperti STAR, SAPP dan PBS akan meninggalkannya dan beralih kepada pemimpin yang baru.

“BERSATU juga bukanlah parti yang kuat kerana kejayaannya parti ini pada PRU14 yang lepas adalah hasil daripada kerja keras dan karisma Tun Mahathir dan bukannya kerana faktor Muhyiddin,” jelasnya.

Menurutnya, berapa ramaikah wakil rakyat BERSATU yang akan meninggalkan presiden mereka.

Atas sebab sebeginilah Muhyiddin terpaksa memohon untuk menyertai UMNO dan PAS dibawah Muafakat Nasional. BERSATU tidak mempunyai keupayaan untuk menentang UMNO.

Maka, jika Muhyiddin terpaksa menurut perintah yang diberikan oleh UMNO dan PAS, apakah yang boleh diharapkan lagi oleh rakyat Sabah?

Jadi, Jangan sia-siakan undi anda yang amat berharga itu.

 



Comments
Loading...