Rosmah tak pernah minta wang untuk diri sendiri – bekas pembantu


(Bernama) – Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini diberitahu isteri bekas perdana menteri, Rosmah Mansor tidak pernah meminta wang untuk diri sendiri sebagai habuan membantu Jepak Holdings mendapatkan projek solar hibrid untuk 369 sekolah di pedalaman Sarawak bernilai RM1.25 bilion.

Perkara itu dinyatakan bekas pembantunya, Rizal Mansor yang juga saksi pendakwaan ke-21, ketika pemeriksaan balas dengan peguam Jagjit Singh.

Jagjit: Saya tanya kamu, Rosmah tidak pernah meminta wang untuk diri sendiri?

Rizal: Setuju

Jagjit: Rosmah tidak pernah meminta wang dari (pengarah urusan) Saidi Abang Samsudin dan (rakan kongsi) Rayyan (Radzwill Abdullah)?

Rizal: Ya

Jagjit: Sah kamu menyediakan pertemuan Saidi dan Rayyan dengan Rosmah hanya untuk sumbangan politik (kepada Najib) dan tugas kamu adalah memastikan penglibatan Rosmah?

Rizal: Ya

Jagjit: Walaupun kamu melibatkan Rosmah, dia tidak pernah meminta wang pada bila-bila masa?

Rizal: Ya

Rosmah berdepan satu pertuduhan meminta RM187.5 juta dan dua pertuduhan menerima suapan RM6.5 juta daripada Saidi.

Mengikut pertuduhan, Rosmah didakwa menerima suapan menerusi Rizal sebagai upah membantu Jepak Holdings mendapatkan Projek Bersepadu Sistem Solar Photovoltaic (PV) Hibrid, serta Penyelenggaraan dan Operasi Genset/Diesel bagi 369 sekolah luar bandar Sarawak bernilai RM1.25 bilion secara rundingan terus daripada Kementerian Pendidikan Malaysia.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di Lygon Cafe, Sunway Putra Mall, Jalan Putra, di Kuala Lumpur; kediamannya di Jalan Langgak Duta, Taman Duta dan di Seri Perdana, Persiaran Seri Perdana, Presint 10, Putrajaya antara Januari 2016 dan 7 Sept 2017.

 



Comments
Loading...