PAS sebagai ‘King Maker’ jadi kenyataan – Presiden PAS


(Harakah) – Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang mendedahkan bahawa rancangan membawa pendekatan baharu politik PAS menerusi Ta’awun Siyasi telah dibuat beliau bersama Almarhum Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Tuan Guru Dato’ Dr Haron Din.

Perbincangan tersebut maklumnya, berlaku dalam bilik di Pusat Tarbiyah Islamiyah Kelantan (PUTIK) tersebut semasa hayat kedua tokoh itu yang disebutnya ketika menyampaikan ucapan khas sempena Muktamar Dewan Pemuda PAS Malaysia Kali Ke-61 di PUTIK, di sini sebentar tadi.

“Siapa yang menduga perkembangan politik yang berlaku di masa mutakhir ini. Saya hanya menembak sahaja, ketika Pilihan Raya Ke-14, in sya Allah PAS akan jadi ‘King Maker‘ dalam percaturan politik tanah air, dengan kerusi yang dianggap tidak menjadi penentu kepada kerajaan yang memerintah, dengan jumlah 18 kerusi Parlimen, dua buah negeri yang kita menang.

“Tiba-tiba Allah menyerlahkan kita menjadi ‘King Maker‘, yang melakukan perubahan politik tanah air, yang berlaku bukan Langkah Sheraton, itu langkah kita sebenarnya. Biarlah orang tak tahu, itu lebih baik.

Orang nampak Langkah Sheraton sahaja.“Pendekatan ‘cooperation‘, bukan ‘coalition‘, pendekatan yang lebih longgar, tetapi fleksibel, tidak memutuskan kita daripada perjuangan Islam. Ketika semua parti politik dalam keadaan yang bergolak, kita dilamar oleh semua pihak, dipinang oleh semua orang, kerajaan dan pembangkang.

“Kita mengambil jalan tengah mewujudkan kumpulan ketiga Gagasan Sejahtera. Dalam pergerakan itu, dua-dua pihak dalam keadaan letih, kita tak letih. Kita saksikan Pakatan Harapan yang berjaya menawan Putrajaya, dalam keadaan pening, berlaga terhantuk sesama sendiri.

“Kita menyaksikan parti-parti lain yang tidak boleh pergi ke Putrajaya, dalam keadaan yang sangat gelabah,” ujarnya PAS kekal memperkenalkan politik Islam sebagaimana ditunjuk oleh Nabi kita Muhammad S.A.W dengan menyatukan umat Islam dahulu kerana mereka yang berhak memimpin.

PAS jelas beliau, seterusnya menyatukan masyarakat majmuk, melibatkan semua kaum di mana mesej itu kedua-dua dapat dilaksanakan bermula dengan penubuhan Muafakat Nasional dengan Umno dan membuahkan Kongres Perpaduan Melayu bertemu Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Dua-dua sudah minat kepada Islam, Umno sanggup mengubahkan undang-undang tubuhnya, meletakkan Islam di hadapan. Tun menegaskan kepada saya, dia nampak Islam yang boleh menyelesaikan masalah, cuma berkhilaf dalam masalah pendekatan, berkhilaf dalam masalah itu sahaja.

“Akhirnya kita berjaya mewujudkan Perikatan Nasional, menawan Putrajaya dalam keadaan tenang, satu pertukaran kuasa secara demokratik, bukan pintu belakang, bukan tebuk atap.

Melalui ahli-ahli Parlimen yang dipilih oleh rakyat, melalui Raja Yang di-Pertuan Agong, bukan tebuk atap, ini mengikut Perlembagaan.

“Kita berjaya mengambil alih Putrajaya, dengan langkah yang diambil, walaupun kita berkhilaf, berbeza pendapat dalam pendekatan, menyebabkan sedikit keretakan dan perpecahan berlaku.“Tetapi perancangan kita berjaya.

PAS mendapat tempat dalam Kerajaan Pusat, menambah satu negeri lagi, Kedah, kita memimpin, dengan cara yang tidak gopoh seperti orang lain.“Alhamdulillah ahli-ahli PAS setia kepada parti. Mereka tidak gelabah, kerana mereka yang gelabah itu, sudah tak ada dalam parti kita.

Kita selamat,” syukurinya.Penting kini katanya, PAS mahu mengukuhkan lagi kedudukan perjuangan ini untuk mendapat mandat rakyat secara langsung melalui PRU15 di mana pengundi muda diakuinya menjadi penentu sangat besar, sekali gus peranan Pemuda PAS juga besar.

Beliau menyuntik motivasi dengan membawa situasi runtuhnya ideologi dan kuasa besar serta politik lain, namun gerakan Islam termasuk PAS terus kekal melangsungkan perjuangan hingga ke hari ini.

Tuan Guru juga membawa kisah tujuh Pemuda al-Kahfi yang disebut dalam al-Quran di mana walaupun asalnya terasing, namun tetap bangun membawa kebenaran dan menghadapi cabaran.

 



Comments
Loading...