PAS tidak tanding PRN Sabah: Ini penjelasannya


(Harakah) – PAS dalam merencana strategi politik dan menghadap cabaran semasa yang ada melihat secara gambaran besar (big picture) dan jangka panjang di mana dibimbing dan dipandu oleh Majlis Syura Ulamak (MSU).

Timbalan Presiden PAS, Dato’ Sri Ustaz Tuan Ibrahim Tuan Man menyingkap seni politik dilaksana PAS dari pendekatan pernah dilaksana Rasulullah S.A.W dan Sahabat R.A itu sebagai menjelaskan sikap dalam PRN Sabah.

Kupasan tersebut dihuraikannya ketika berucap merasmikan Muktamar Tahunan Dewan Pemuda PAS Malaysia Kali Ke-61 di Pusat Tarbiyah Islamiyah Kelantan (PUTIK), di sini sebentar tadi.

“Terkadang ada orang bangga rasa hebat dengan menangnya Cawangan dia tak pernah kalah, walaupun DUN dan Parlimen tak pernah menang.

“MSU membuat apa-apa keputusan selagi tidak bercanggah dengan syarak. Namun, di sana ada perkara strategi yang perlu kita memahami kaedahnya. Dalam perkara strategi inilah yang perlu kita patuh kepada keputusan pimpinan parti.

“Ada perkara yang kita tak nampak, yang pimpinan kita nampak. Ada perkara yang parti buat keputusan yang sangat pelik, yang gagal difahami oleh ahli-ahli di bawah, dan tidak semua kita boleh berkongsi dengan ahli kita di bawah dalam membuat sesuatu keputusan strategi.

“Ada wartawan mari tanya saya, apa rahsia PAS mencapai kemenangan? Saya kata kalau rahsianya, tak boleh beritahu. Mereka mari tanya rahsia kita, mana boleh beritahu.

“Demikian juga strategi, ada strategi, Nabi sahaja tahu, Sahabat pun tak tahu, Saidina Abu Bakar pun tak tahu,” ujarnya menjelaskan sikap dengar dan taat beliau apabila ada keputusan dibuat Presiden PAS.

Beliau menyingkap sirah Perang Khaybar, di mana Nabi tidak melayan pertanyaan para Sahabat, sebaliknya mengarahkan persiapan, lalu tentera digerakkan ke Selatan Madinah hingga perkara tersebut sangat menghairankan semua.

Keadaan itu jelasnya, lebih membingungkan para Sahabat apabila tidak berapa jauh perjalanan itu, Nabi sudah mengarahkan didirikan khemah, tetapi menerima kejutan di tengah malam apabila diarah pula bergerak menghala Utara Madinah.

“Kenapa PAS tidak bertanding di Sabah? Ahli kita saya turun ke Sabah semalam, bertemu dengan pimpinan, memahami kekecewaan, kesedihan. Tetapi kita melihat kepada agenda yang besar, Presiden mengeluarkan satu kenyataan. Alhamdulillah, seluruh jentera parti akur, termasuk seluruh pimpinan.

“Petugas di Sabah akur pada keputusan parti kerana melihat kepada agenda besar. Jangan kita terperangkap dengan agenda musuh supaya kita bertanding, akhirnya pecah, dan mereka akan mencapai kemenangan. Kita berjaya mengelak perangkap yang dipasang oleh musuh.

“Presiden menyatakan bahawa kita buat keputusan demi mengelak perpecahan yang menyebabkan kita akan hilang peluang bagi mencapai kemenangan. Terkadang, kita terpaksa tunduk kepada suatu keputusan besar,” terangnya.

Beliau ‘membuka rahsia’ dari pengalaman PRU12 ketika PAS berada dalam Barisan Alternatif di mana kerusi PAS di Kelantan telah dituntut PKR sedangkan data menunjukkan ia berpotensi dimenangi.

Akhirnya PAS ujar belaiu, menukarkan kerusi di Kelantan itu dengan Pahang di mana ia menimbulkan rasa tidak puas hati kerana pimpinan negeri tidak mengetahui mengenainya kecuali pimpinan PAS Pusat.

“Tetapi apa yang berlaku, berlaku tak puas hati, keluar parti, hantar jadi calon bebas bertanding jadi calon Bebas, hilang deposit. Itu tak apalah. Parti kawasan tersebut pecah, sebab yang keluar ialah pimpinan tertinggi kawasan. Akhirnya jadi DAP semua sekarang. Yang keluar itu jadi DAP sekarang.

“Sebab itu kadang-kadang keputusan penting yang besar begini, kita dengar dan kita patuh. Keputusan strategi yang tak semua kita boleh maklum kepada ahli-ahli kita,” ujarnya.

Ahli Parlimen Kubang Kerian ini juga memetik peristiwa Perang Zatus Salasin di mana para Sahabat R.A tidak berpuas hati dengan pelantikan Amru bin ‘As jadi panglima yentera kerana baru masuk Islam dalam 6 bulan.

Sedangkan ketika itu ceritanya, ada bersama tentera ialah Abu Bakar as-Siddiq, Umar al-Khattab di mana tentera pertama digerakkan dengan 200 anggota dengan Nabi S.A.W memakai di kepala Amru suatu ikatan kain.

“Pergilah kamu dan bawa balik kemenangan, dan bawa balik kekayaan khazanah rampasan perang sebagai tanda kemenangan. Amru bin ‘As bertolak. Sampai tengah malam, di kawasan yang sangat sejuk, Zatus Salasin ini Utara, sangat sejuk. Tentera-tentera mencadang untuk mengunggun api bagi mengurangkan kepanasan, memanaskan badan masing-masing.

“Lalu Amru cakap jangan siapa-siapa yang unggu api. Siapa-siapa yang unggun api, aku akan campak dia dalam api. Masing-masing senyap. Umar al-Khattab tak puas hati. Umar datang kepada Abu Bakar, ‘Ya Abu Bakar, tentera kita kesejukan, kenapa panglima tentera tak benarkan kita unggun api, nanti tentera kita kesejukan’.

“Apa kata Saidina Abu Bakar? ‘Ya Umar, dia ketua, patuh. Dia ketua kita, Nabi lantik dia. Tanggungjawab kita patuh kepada keputusan dia’. Umar pun senyap, Umar tak kata, aku pun setuju dengan engkau juga. Tak patut Panglima Tentera kita buat macam ini. Bagaimana kalau kita tubuh cawangan baru?

“Abu Bakar menenangkan yang tak puas hati. Tanggungjawab pemimpin meredakan kepanasan, menyelesaikan masalah, menunduk perkara-perkara yang sengaja disebarkan oleh musuh di pendalaman dan daripada luar,” terangnya.

Tanggungjawab pemimpin peringat beliau, bukan menimbulkan kekeliruan, kekecohan dan rasa tak puas hati, sebaliknya pemimpin meredakan keadaan.

Lanjutnya bercerita, Amru keesokannya tidak mandi junub kerana air terlalu sejuk, sebaliknya hanya bertayamum hingga menimbulkan pertikaian, bahkan dia juga turut mengimamkan solat, sedangkan makmum lain mengambil wudhuk.

Turut menimbulkan pertikaian katanya, bila Amru melarang mengejar musuh yang telah lari meninggalkan ghanimah, sebaliknya mengarahkan supaya pulang ke Madinah dan terus menyebabkan Sahabat tidak puas hati.

“Ada orang tanya, kenapa PAS tak letak saja calon di Sabah, letak saja 10. ini kekuatan parti kita, syiar kena ada, bendera PAS kena naik, walaupun hilang deposit. Saya kata, patuh, sebab dia Presiden kita.

“Tuan-tuan, balik ke Madinah, Sahabat-sahabat terus berjumpa Nabi S.A.W. ‘Ya Rasulullah, kami tak puas hati panglima tentera dengan dua tiga perkara ini’. Nabi panggil Amru bin As. Pertama, ‘kenapa kamu tak benarkan tentera unggu api, sedangkan kamu tahu tentera dalam kesejukan?’.

“Dia kata ‘ya Rasulullah, aku tahu geografi tempat medan perang Zatus Salasin, kita berada satu bukit ya Rasulullah, musuh kita berada di bukit sana. Kalau kita unggun api, musuh tahu di mana kita berada, dan musuh tahu berapa ramai jumlah tentera kita. Sebab itu aku tak benarkan unggu api supaya musuh tak tahu kehadiran kita’.

“Tuan-tuan, di medan perang hanya ada arahan, bukan hanya ada mesyuarat. Di saat perang, hanya patuh arahan, bukan waktu kita mesyuarat nak mengambil keputusan, kecuali dalam perkara yang sangat penting.

“Kalau buat mesyuarat, akan ada yang kata saya setuju unggu api, lepas itu kumpulan ini, cawangan ini kata saya rasa tak setuju, saya setuju ketua. Ya. Kata AJK kawasan dua orang, saya setuju pandangan pembangkang, kita unggu api. Ini nak perang ke nak mesyuarat ini? Ya.

“Bila api tengah membakar, keputusannya ialah arahan. Jadi oleh kerana itu, dalam perkara ini kita kadang-kadang kesabaran kita sebenarnya memang hebat diuji berkali-kali,” terangnya.

Beliau turut mengupas dalil bahawa Allah Taala mendahulukan sabar daripada solat dan takwa menunjukkan betapa kesabaran itu adalah kejayaan dan begitulah dalam membuat keputusan terutama dalam situasi tidak puas hati.

Beliau juga berharap ahli memahami tabiat musuh yang akan sentiasa menyerang PAS hatta ketika PAS berdiam diri tidak melakukan sesuatupun, sekali gus menyeru ahli untuk terus mengejar redha Allah dan mendukung keputusan jemaah.

 



Comments
Loading...