Azmin, Zuraida diangkat ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu


(Suara TV) – Bekas pimpinan tertinggi PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Zuraida Kamaruddin yang melompat parti kini telah dilantik sebagai ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu.

Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainuddin dalam kenyataannya memaklumkan keputusan lantikan itu diputuskan oleh Presiden parti, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada MPT, 7 September, semalam.

Memetik laporan portal Malaysiakini, sebelum ini, umum maklum, Mohamed Azmin adalah timbalan presiden PKR manakala Zuraida pula adalah naib presiden.

Kedua-dua mereka serta beberapa bekas ahli Parlimen PKR lain menyertai Bersatu secara rasmi bulan lalu.

Mereka memilih untuk menyokong Muhyiddin pada Februrari lalu dan bersama menyokong membentuk kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Selain itu, Muhyiddin, yang juga Perdana Menteri, memilih mengekalkan Hamzah sebagai Setiausaha Agung, sementara bekas pengerusi PTPTN Wan Saiful Wan Jan kini dilantik sebagai Ketua Penerangan Bersatu. Beliau juga adalah anggota MPT pada penggal sebelum ini.

Pimpinan lain yang dilantik menganggotai MPT adalah Ahli Parlimen Alor Gajah, Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof, yang adalah bekas pengerusi Bersatu Melaka dan bekas ketua bahagian Masjid Tanah.

Redzuan gagal mempertahankan jawatan ketua bahagian dan dikalahkan oleh ahli Parlimen Masjid Tanah, Datuk Mas Ermieyati Samsudin, yang merupakan bekas ketua Puteri UMNO, pada Februari.

Turut dilantik oleh presiden menganggotai MPT termasuk Datuk Mohamed Salleh Bajuri, yang juga dilantik semula sebagai bendahari parti, Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad, Datuk Abdul Rashid Ansari dan Muhammad Faiz Na’aman.

Dalam kenyataan hari ini, Hamzah memaklumkan bahawa Muhyiddin pada mesyuarat semalam turut melantik ketua Bersatu negeri dan timbalannya.

Antara pelantikan ketua negeri ialah Hamzah, yang kini menjadi ketua Bersatu Perlis, bekas setiausaha eksekutif Muhammad Suhaimi Yahya (Wilayah Persekutuan), Mohd Suhaimi Abdullah (Kedah), Shabudin Yahaya (Pulau Pinang), Abdul Rashid Asari (Selangor) Eddin Syazlee Shith (Negeri Sembilan), Mohd Rafiq Naizamohideen (Melaka), Kamarudin Md Nor (Kelantan), Razali Idris (Terengganu), Hajiji Mohd Noor (Sabah), dan Jaziri Alkaf Abdillah Suffian (Sarawak).

Muhyiddin turut melantik dirinya sebagai ketua Bersatu Johor, sementara timbalan presiden Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu adalah ketua Bersatu untuk Perak dan Pahang.

Sementara itu, MPT pada mesyuarat semalam juga memutuskan untuk melantik ketua untuk beberapa biro.

Muhyiddin adalah pengerusi biro politik Bersatu, Ahmad Faizal (biro pengurusan), Datuk Seri Dr Ronald Kiandee (biro pilihan raya dan kajian), Dr Mohd Radzi Jidin (biro latihan dan perkaderan), Mohd Rafiq Naizamohideen( biro penambahan ahli dan cawangan), dan Datuk Shabudin Yahaya (biro agama).

Majlis itu juga memutuskan untuk melantik Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mustapa Mohamed sebagai pengerusi biro ekonomi, sementara Azmin, yang adalah Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, dilantik menerajui biro antarabangsa Bersatu.

 



Comments
Loading...