Parti Pejuang laluan untuk lantik Mukhriz sebagai PM
(MalaysiaGazette) – Penubuhan Parti Pejuang Tanahair (Pejuang) dilihat hanya untuk menjadikan Datuk Seri Mukhriz Mahathir sebagai Perdana Menteri.
Pensyarah Universiti Utara Malaysia, Prof Madya Dr R Sivaperegasam Rajanthiran berkata, selain untuk menggulingkan kerajaan Perikatan Nasional (PN), motif penubuhan Pejuang itu dilihat untuk memudahkan laluan bekas Menteri Besar Kedah itu ke puncak karier dalam politik.
“Pada pengamatan saya mungkin ada motif yang lain dalam penubuhan Pejuang ini. Tun Dr Mahathir Mohamad berjaya memastikan anaknya Datuk Mukhriz Mahathir sebagai presiden parti itu. Barangkali itu hakikat penubuhan Pejuang.
“Mukhriz akan akhirnya dilantik menjadi Perdana Menteri,” katanya ketika menjadi ahli panel dalam Konvensyen Setengah Tahun Pentadbiran PN yang bertajuk ‘Pencapaian, Harapan dan Cabaran,’ di Persatuan Alumni UM (PAUM) hari ini.
Jelas Sivaperegasam lagi, parti yang masih dalam proses pendaftaran itu sememangnya banyak bergantung kepada Mahathir untuk bertapak sedangkan populariti bekas Perdana Menteri ketujuh itu semakin merudum.
“Pejuang yang banyak bergantung kepada pengaruh Dr Mahathir sedangkan populariti beliau telah jauh merudum. Sebahagiannya disebabkan oleh tindak tanduk beliau sendiri dan kegagalan beliau mengetuai kerajaan PH.
“Termasuk juga kegagalan beliau dan PH untuk melontar janji yang dijadikan sebahagian daripada manifesto PH.
“Kita dapati hampir semua kandungan manifesto ini tidak direalisasikan dengan baik.
“Dan bila ditanya dan dikritik tentang ini beliau memberitahu bahawa manifesto bukan Bible yang perlu diikuti dengan rapat,” katanya lagi.
Justeru itu, rakyat digesa agar bertanya niat sebenar Mahathir untuk menubuhkan parti Pejuang.
Ujar beliau lagi, motif untuk menghapuskan rasuah dan salah guna kuasa juga masih samar-samar untuk menarik rakyat untuk menyertai Pejuang.
“Persoalan menarik yang ditanya adalah mampukah Pejuang memberi ancaman kerajaan PN tatkala sudah wujud enam parti Melayu lain di negara ini.
“Rakyat wajar bertanya pada Tun Dr Mahathir, apakah sebenarnya motif dan agenda Pejuang.
“Jika ia dimaksudkan untuk menghapuskan rasuah dan salah guna kuasa, persoalan yang berbangkit adalah sejauh mana kepemimpinan Tun Mahathir sebelumnya ketika menerajui UMNO dan ketika menerajui Bersatu.
“Apakah pada zaman pemerintahan Tun sewaktu menerajui kerajaan UMNO selama 22 tahun dan 22 bulan di bawah PH apakah rasuah dan penyalahgunaan kuasa tidak berlaku di bawah kerajaan PH.
“Kalau motif penubuhan Pejuang ini betul ianya untuk menghapuskan rasuah saya kira para penganalisis dan sarjana perlu renungkan kembali motif ini dengan baik.
“Atau ada motif lain yang terselindung di dalamnya,” katanya.