Dedahkan, rakyat berhak tahu – Permintaan Tun M kepada Zafrul


“Rakyat berhak mendapat maklumat penuh tentang siapa yang mendapat projek berkenaan, projek yang mana, di mana projek tersebut serta berapa nilainya.

(Malaysia Gazette) – Bekas Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad meminta Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Aziz mendedahkan butiran terperinci mengenai 101 projek yang dikatakan telah diperolehi secara rundingan terus.

Tegasnya, projek rundingan terus adalah dibenarkan namun pendedahan Zafrul di Dewan Rakyat semalam seolah-olah perkara tersebut adalah satu kesalahan.

“Rakyat berhak mendapat maklumat penuh tentang siapa yang mendapat projek berkenaan, projek yang mana, di mana projek tersebut serta berapa nilainya.

“(Ianya perlu didedahkan) supaya rakyat tahu siapakah yang mendapatkan nikmat istimewa ini,” katanya dalam satu klip video yang disiarkan melalui platform media sosialnya hari ini.

Semasa membentangkan sesi penggulungan Rang Undang-Undang Langkah-Langkah Sementara Bagi Pembiayaan Kerajaan (Penyakit Koronavirus 2019) di Dewan Rakyat, Zafrul mendedahkan terdapat 101 projek atau perolehan kerajaan bernilai RM6.61 bilion telah diluluskan kerajaan Pakatan Harapan selama 22 bulan pemerintahannya.

Walaupun Zafrul memberi penjelasan bahawa perolehan rundingan terus boleh dilaksanakan bagi keadaan tertentu dan menepati beberapa kriteria namun pendedahan tersebut telah menimbulkan ketegangan dalam kalangan penyokong dan pembangkang ketika sesi berkenaan.

Susulan itu, beberapa laporan juga telah dibuat oleh badan-badan bukan kerajaan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia bagi menyiasat perkara tersebut.

Antaranya merangkumi perolehan bekalan perkhidmatan membabitkan keperluan mendesak yang berupaya memudaratkan atau menjejaskan kepentingan negara jika tidak dilaksanakan dengan segera.



Comments
Loading...