Parti baru Dr Mahathir welcome di dalam Pakatan Harapan, kata Anwar


(FMT) – Pakatan Harapan (PH) sedia mempertimbang kemasukan parti baru yang akan ditubuhkan kumpulan bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad dalam gabungan itu bagi menguatkan gerakan pembangkang.

Pengerusinya Anwar Ibrahim berkata, keterbukaan itu bagaimanapun bergantung kepada permintaan dibuat kumpulan Mahathir menyertai kembali PH.

“Sekiranya dia (Mahathir) minta kita pertimbanglah, biar dia minta dulu,” katanya ketika ditemui media selepas menghadiri program jelajah presiden PKR peringkat Selangor di Shah Alam malam ini.

Anwar turut memaklumkan, pihaknya mengambil pendekatan tunggu dan lihat sejauh mana perkembangan penubuhan parti baru pimpinan Mahathir itu.

“Tun baru nak umumkan nak tubuh parti baru, jadi kita tengoklah,” katanya.

Beliau berkata, setakat ini pihaknya akan bekerjasama dengan kumpulan Mahathir bagi menghadapi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim.

“Untuk PRK Slim dia minta PH kerjasama,” katanya.

Mahathir mengumumkan penubuhan parti baru selepas keahlian PPBM diterajuinya sebelum ini terbatal.

Beliau bersama beberapa lagi yang terbatal keahlian mereka menubuhkan parti baru yang belum dinamakan dan menunggu proses Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM).

Bekas pengerusi PPBM itu berkata, asas penubuhan parti baru itu mengambil “DNA” asal PPBM sebelum ini, yang lari daripada perjuangan diterajui Muhyiddin Yassin.

Katanya, parti baru itu tidak akan terikat dengan parti campuran lain termasuk tidak bersama PH atau Perikatan Nasional.

Mahathir berkata, parti yang akan ditubuhkan kelak akan menjadi kumpulan penentu kepada siapa yang akan mendapat kemenangan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

 



Comments
Loading...