PAS, UMNO Bincang Agihan Kerusi PRU-15


(Suara TV) – Pas membuat keputusan pengagihan kerusi pilihan raya umum akan datang antara UMNO dan Pas di seluruh negara akan dibincangkan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Induk Muafakat Nasional (MN).

Naib Presidennya, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata Pas negeri hanya akan menerima keputusan pengagihan kerusi untuk Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), selepas ia dimuktamadkan di peringkat Pusat.

Untuk itu, soal pengagihan kerusi tidak akan dibincangkan di peringkat negeri termasuklah negeri yang dikuasai Pas.

“Tetapi pembahagian kerusi kerana melibatkan seluruh negara, kalau buat negeri, ia akan melihat konteks dia sahaja.

“Tetapi kalau selaraskan di peringkat Pusat, mereka akan melihat keseluruhan hubungan antara Pas, UMNO dan Bersatu di seluruh negara,” kata Mohd Amar.

Mohd Amar berkata maklumat berhubung calon dan kedudukan kerusi boleh disalurkan kepada jawatankuasa berkenaan.

Katanya, berhubung soal penentuan calon, hak masih diberikan kepada Pas negeri untuk mencadangkan nama calon yang bakal bertanding.

Perbincangan pengagihan kerusi antara Pas dan UMNO serta Bersatu perlu dilaksanakan dalam perbincangan bersama di peringkat Pusat memandangkan hubungan Pas dan UMNO dalam MN, serta Bersatu dalam Perikatan Nasional (PN).

Pengagihan kerusi juga dibuat dengan tidak meletakkan parti mana yang didahulukan, sebaliknya semua parti diberikan hak masing-masing tanpa ada parti yang dianggap dominan kerana semua parti yang berada bersama ini sudah dianggap sebagai ‘adik-beradik’.

 



Comments
Loading...