UMNO tak bincang dengan PAS keluar PN


(Ismaweb) – UMNO tidak mengadakan perbincangan dengan PAS untuk menarik diri dari gabungan Perikatan Nasional (PN).

Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan berkata, tiada sebarang perbincangan diadakan berkaitan perkara itu dalam Muafakat Nasional (MN).

Pada masa sama, beliau enggan mengulas sama ada kenyataan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi itu bersifat peribadi mahupun organisasi.

“Kita pun tidak pasti berhubung perkara itu (kenyataan Ahmad Zahidi), UMNO kata nak bincang dengan PAS dan saya difahamkan minggu depan baru kita akan mengadakan perbincangan.

“Perkara ini mesti kena bincang. Kita tidak mempunyai sebarang masalah kerana sering mengadakan perbincangan menerusi Muafakat Nasional,” katanya seperti dilapor Berita Harian

Dalam perkembangan lain, Takiyuddin berkata, pihaknya menyokong sepenuhnya kerajaan PN sehingga Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Beliau berkata, PAS akan terus memperkasakan MN berikutan telah ada perjanjian dan selaku parti Islam, PAS akan berpegang kepada janji.

“Menjadi tanggungjawab kita memperkukuh dan mempertahankan kerajaan sedia ada,” katanya.

Terdahulu, Ahmad Zahid mengumumkan UMNO sudah membuat keputusan untuk tidak menyertai PN.

Sebaliknya, parti Melayu terbesar itu memilih untuk memperkasakan gagasan MN bersama dengan PAS dan kepimpinan dalam komponen Barisan Nasional (BN).

“Sokongan kepada Kerajaan Perikatan Nasional hanya berlandaskan sokongan Ahli-ahli Parlimen UMNO dan BN serta ADUN-ADUN (Ahli Dewan Undangan Negeri) dalam pembentukan kerajaan Pusat dan di beberapa negeri tertentu,” katanya.

 



Comments
Loading...