Dua kali UMNO nyatakan pendirian tidak sertai PN dalam mesyuarat MN


(Malaysia Gazette) – Pendirian UMNO untuk tidak menyertai Perikatan Nasional jika didaftarkan kelak telah dinyatakan dalam dua Mesyuarat Jawatankuasa Induk Muafakat Nasional.

Ketua Pergerakan Pemua UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, dalam kedua-dua mesyuarat itu, UMNO tegas membawa suara Majlis Tertinggi dan akar umb yang tidak mahu  UMNO menyertai PN sebagai salah parti komponen.

“Bahkan pendirian ini telahpun dibangkitkan oleh barisan 11 orang kepimpinan yang mewakili UMNO dalam Jawatankuasa Induk Perundingan Muafakat Nasional yang turut disertai 11 kepimpinan tertinggi Pas,” katanya.

Artikel berkaitan: UMNO umum tidak sertai gabungan Perikatan Nasional

Beliau berkata demikian dalam hantaran di laman Facebook bagi mengulas kenyataan Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hasan yang mendakwa Pas tidak dimaklumkan tentang pendirian UMNO untuk tidak menyertai Perikatan Nasional jika didaftar.

Takiyuddin berkata, Pas akan terus menyokong kepimpinan kerajaan PN yang diterajui oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Mengulas lanjut, Asyraf berkata, hampir keseluruhan kepimpinan di semua peringkat mahu UMNO kekal Barisan Nasional (BN) dan terus memperkukuhkan kerjasama dengan Pas dalam Muafakat Nasional.

“Justeru, apa yang disuarakan oleh Presiden UMNO, YB Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dalam kenyataan beliau baru-baru ini merupakan suara kolektif kepimpinan dan akar umbi UMNO,” katanya.

Bagaimanapun menurut Asyraf, sebagaimana yang ditegaskan, UMNO akan terus mempertahankan Kerajaan Perikatan Nasional sehingga PRU-15.

Kesepakatan juga, katanya, dicapai dengan kepimpinan Pas untuk terus memperkukuhkan Muafakat Nasional tanpa sekelumit perasaan untuk menggagalkan Kerajaan Perikatan Nasional yang dibentuk bersama demi rakyat dan negara.

Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi Jumaat lalu menegaskan pendirian UMNO untuk tidak menyertai Perikatan Nasional dan memaklumkan bahawa Muhyiddin yang merupakan Presiden Bersatu telah menyatakan hasrat untuk menyertai Muafakat Nasional.

 



Comments
Loading...