Najib fail 3 notis rayuan ketepikan sabitan


(FMT) – Bekas perdana menteri Najib Razak memfailkan 3 notis rayuan untuk mengetepikan sabitannya terhadap hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta atas 7 pertuduhan berkaitan dana RM42 juta milik SRC International.

Peguam Harvinderjit Singh berkata, notis itu difailkan di Mahkamah Tinggi petang ini.

“Tiga notis difailkan kerana beliau didakwa dengan 3 set pertuduhan secara berasingan 2 tahun lalu,” katanya kepada FMT.

Pada 4 Julai 2018, Najib, 67, yang juga ahli Parlimen Pekan, meminta dibicarakan di Mahkamah Sesyen atas kesalahan menyalahgunakan kuasa dan 3 tuduhan pecah amanah kerana menyelewengkan dana RM42 juta.

Pada 8 Ogos 2018, beliau didakwa dengan 3 tuduhan pengubahan wang haram yang membabitkan jumlah sama.

Kes itu kemudian dipindahkan ke Mahkamah Tinggi.

Selasa lalu, hakim Mahkamah Tinggi Mohd Nazlan Mohd Ghazali menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta terhadap Najib atas kesalahan penyalahgunaan kuasa atau tambahan 5 tahun penjara, jika gagal membayar denda itu.

Beliau juga menjatuhkan hukuman 10 tahun penjara ke atas Najib atas 6 tuduhan pecah amanah jenayah (CBT) dan pengubahan wang haram.

Bagaimanapun, hakim memerintahkan hukuman penjara berjalan serentak, yang bermaksud Najib akan menjalani hukuman 12 tahun penjara.

Nazlan juga membenarkan permohonan pasukan pembelaan untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman sementara menunggu rayuan.

Bagaimanapun, ikat jamin Najib dinaikkan daripada RM1 juta kepada RM2 juta dengan 2 penjamin, yang dibayarnya semalam.

Nazlan turut mengarahkan Najib melaporkan diri ke balai polis pilihannya pada setiap 1 dan 15 haribulan.

 



Comments
Loading...