Muhyiddin tetap miliki majoriti walaupun tipis, kata penganalisis


(FMT) – Kejayaan pentadbiran kerajaan Perikatan Nasional (PN) melantik speaker baru Dewan Rakyat, Azhar Azizan Harun menggantikan Ariff Yusoff walaupun dengan perbezaan hanya 2 undi tetap memberi indikasi Muhyiddin Yassin berjaya peroleh majoriti.

Penganalisis politik Mohd Izani Mohd Zain dari Universiti Putra Malaysia berkata, tidak dinafikan blok pembangkang diketuai Anwar Ibrahim mempunyai kekuatan dan pengaruh hampir sama dengan blok kerajaan, namun dalam amalan demokrasi, perbezaan 1 undi sudah memadai.

“Jika melihat kepada jumlah undi tersebut, tidak dinafikan kekuatan kerajaan hampir sama dengan kekuatan pihak pembangkang, tetapi kekuatan kerajaan juga bergantung kepada sokongan rakyat di luar, selain semua pihak berkepentingan, termasuk penjawat awam,” katanya kepada FMT.

Izani berkata, beliau juga tidak melihat sebarang masalah buat pentadbiran Muhyiddin untuk membahaskan usul dan rang undang-undang (RUU) pada masa depan, memandangkan Dewan Rakyat bagi Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Parlimen ke-14 baru sahaja bermula semalam.

“Jika usul hanya perlu majoriti mudah, ia tidak ada masalah dan ia boleh tercapai. Melainkan usul pindaan perlembagaan yang memerlukan majoriti 2/3. Ada juga keadaan apabila usul kerajaan turut disokong oleh ahli Parlimen yang berbeza, termasuk Bebas,” katanya.

Semalam Ariff tersingkir daripada jawatan speaker dengan hanya perbezaan tipis 2 undi. Dalam undian belah bahagi, usul kerajaan untuk Ariff mengosongkan jawatan itu disokong 111 ahli Parlimen mengatasi 109 yang menolak.

Sementara itu, Azmi Hassan dari Universiti Teknologi Malaysia berkata, jika hanya memperoleh kelebihan 1 undi akan tetap memberi kemenangan kepada Muhyiddin, memandangkan ini merupakan usul pertama dibentangkan selepas menjawat jawatan perdana menteri.

“Secara tersiratnya, Muhyiddin sebagai perdana menteri mempunyai undi majoriti tipis, iaitu hanya 2 kerana babitkan isu yang begitu partisan, iaitu undi mengikut kehendak parti.

“Saya juga tidak menjangkakan majoriti tipis ini akan terbawa apabila RUU dibentangkan.

“Tidak syak perbahasan RUU juga akan menjadi panas, tetapi kehangatannya hanya berkait kepada perbahasan kandungan RUU.

“Kepentingan kelulusan RUU tidak bergantung kepada pendirian parti, sebaliknya kandungannya. Contohnya RUU membabitkan Covid-19, ia adalah untuk kepentingan dan kelangsungan ekonomi negara,” katanya.

 



Comments
Loading...