Gabungan Muafakat Nasional & Perikatan Nasional Bakal Jadi “Game Changer” PRU15


Salleh Said

1. Selepas PRU14 pada Mei 2018, kita telah menyaksikan lima pilihan raya kecil (PRK) Parlimen dan enam PRK DUN. Beberapa keputusan PRK ini telah menunjukkan bahawa kerjasama antara UMNO dan PAS, dan kini bersama PPBM, telah memperbaiki prestasi Barisan Nasional (BN). Anda boleh lihat peratusan serta perbandingan di penghujung catatan.

2. Pada PRU14, Pakatan Harapan (PH) memenangi 45.68% undi popular dan 50.90% kerusi Parlimen. BN, apabila digabungkan dengan PAS, memperolehi undi popular yang lebih besar iaitu 49.97%, namun hanya memenangi 43.70% kerusi Parlimen.

3. Dari segi “undi popular Melayu” pula, PH memperolehi 11.38% (gabungan PPBM dan PAN) manakala gabungan UMNO dan PAS memenangi 37.72%. Baki selebihnya sekitar 10% telah diperolehi oleh PKR, sebuah parti yang popular dalam kalangan Melayu bandar dan Melayu liberal. Inilah sebabnya gabungan PKR dan DAP memenangi 40.09% undi popular, iaitu sekitar 10% undi Melayu.

4. Undi bukan Melayu yang diperolehi pembangkang agak konsisten dalam tiga PRU berturut-turut: 2008, 2013 dan 2018. Hanya undi Melayu sahaja yang turun naik secara tidak menentu sepanjang lima PRU sejak 1999.

5. Peralihan undi Melayu (“Malay swing”) inilah yang menentukan siapa yang bakal membentuk Kerajaan Persekutuan dan Negeri.

6. Keteguhan kerjasama antara UMNO dan PAS ini dapat dilihat dengan lebih jelas di negeri-negeri “Melayu” umpamanya Kedah di mana PH hanya memenangi 36.50% undi popular berbanding 63.30% untuk gabungan UMNO dan PAS.

7. Di negeri-negeri yang didominasi orang Melayu seperti Terengganu dan Kelantan pula, PH dilenyapkan terus apabila gabungan UMNO dan PAS memenangi 100% daripada 99 kerusi Parlimen dan DUN.

8. Di Johor, PH memenangi 53.60% undi popular. Di Melaka 51.1%, dan Negeri Sembilan pula 53.90%. PH memenangi Perak dengan hanya 50.10% undi. Kesimpulannya, PH menang tipis di negeri-negeri ini, dan ini pun kerana undi Melayu telah berpecah lima.

9. Kekangan utama yang dihadapi BN dan PAS pada 2018 adalah apabila 97%-98% pengundi bukan Melayu telah mengundi pembangkang sementara pengundi Melayu pula telah terbahagi satu pertiga untuk UMNO, satu pertiga untuk PAS dan satu pertiga untuk PH.

10. Kini dengan gabungan UMNO dan PAS, dan juga PPBM baru-baru ini, keputusan PRU akan datang sudah pastilah sangat berbeza.

READ MORE HERE

 



Comments
Loading...