Dr Mahathir dan Anwar tidak iktiraf kerajaan Perikatan Nasional


(Ismaweb) – Tun Dr Mahathir Mohamad dan Datuk Seri Anwar Ibrahim, hari ini menegaskan mereka tidak mengiktiraf kerajaan yang ada hari ini kerana ia ditubuhkan tanpa mendapat mandat rakyat.

Dalam satu kenyataan bersama, mereka mendakwa, kerajaan Perikatan Nasional yang ditubuhkan secara rundingan itu tidak diperolehi secara sah menurut kertas undi di dalam pilihan raya.

“Kami tidak sanggup untuk menggadaikan moral dan etika kami untuk menyokong kerajaan hari ini,” kata keduanya.

Ahli Parlimen Langkawi dan Port Dickson itu turut mendakwa bahawa kerajaan hari ini sanggup berbuat apa sahaja untuk mengumpul kuasa.

“Jawatan besar mula diagih, kuasa dan pangkat terus ditagih,” kata keduanya.

Mereka turut memuji pencapaian Pakatan Harapan (PH) selama 22 bulan ia mentadbir negara dengan mendakwa telah melakukan reformasi dan institusi.

Kedua tokoh itu mendakwa ketika pemerintahan PH, demokrasi subur dan salah satu buktinya adalah kebebasan bersuara yang tidak pernah rakyat miliki sebelum ini.

“Jika rakyat bersuara, wakil rakyat harus sahut dan tiada seorang pun dihalang bersuara dengan alasan ‘tindakan undang-undang’.

“Kebebasan bersuara itu antara hadiah paling besar buat negara dua tahun yang lalu.

“Rakyat sedar, bahawa tanggungjawab mentadbir negara ini adalah tanggungjawab bersama dan Ahli Parlimen hanyalah sekadar wadah yang membawa suara rakyat,” jelas Mahathir dan Anwar.

Ekoran itu, kedua tokoh besar negara itu memaklumkan bahawa mereka telah mencapai kata sepakat untuk menolak perbezaan, sengketa dan kemelut bagi berjuang demi rakyat, melawan kerajaan hari ini.

“Kami sudah berusia, masa kami sudah tidak lama. Namun semangat perjuangan kami masih marak dalam jiwa setiap anak muda yang mengimpikan reformasi.

“Masanya telah tiba untuk kita bangkit semula dan berusaha mengembalikan mandat rakyat ke pihak yang sepatutnya,” kata mereka dalam kenyataan yang dikeluarkan sempena ulangtahun kedua kemenangan Pakatan Harapan.

 



Comments
Loading...