Beza Lim Guan Eng dengan Menteri Kewangan sekarang


(Sarawak Voice) – Kecekapan Menteri Kewangan hari ini iaitu Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz wajar dipuji kerana beliau yang merupakan seorang tokoh korporat dilihat lebih bijak menguruskan kewangan negara tanpa memberi pelbagai alasan bersifat politik.

Menurut Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Sembilan hal ini dapat dilihat apabila kerajaan masih mampu membelanjakan kira-kira RM250 bilion dalam Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat seperti yang diumumkan oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin beberapa minggu lalu.

Menerusi pakej ini, kata Datuk Mohd Zaidy Abdul Kadir, pelbagai inisiatif yang sedikit sebanyak dapat meringankan beban rakyat dari pelbagai latar belakang ekonomi dalam menghadapi cabaran ekonomi ketika ini. Inisiatif yang diberikan Kerajaan kepada rakyat ini turut mendapat pujian daripada beberapa negara termasuk Indonesia.

“Yang hairannya, semasa kerajaan ditadbir oleh Pakatan Harapan (PH), hampir setiap hari Kerajaan dan Menteri Kewangan ketika itu memainkan naratif menakut-nakutkan rakyat kononnya Malaysia hampir muflis,” katanya dalam satu kenyataan.

“Kononnya Malaysia menghadapi defisit kewangan yang teruk hinggakan satu persatu pakej bantuan kepada rakyat yang diperkenalkan oleh Kerajaan Barisan Nasional sebelum itu ditarik balik atau dikurangkan jumlahnya,” katanya.

Semalam, di media-media massa terpapar berita kenyataan daripada kerajaan hari ini bahawa Malaysia masih mempunyai ruang fiskal yang mencukupi untuk menghadapi kemelut ekonomi dek kerana Covid-19 ini.

Ujarnya, kenyataan Datuk Seri Tengku Zafrul itu sekali gus menyanggah tuduhan Kerajaan PH sebelum ini bahawa kedudukan ekonomi negara berada pada keadaan yang teruk.

READ MORE HERE

 



Comments
Loading...