Mengapa Dong Zong, Jiao Zong belum diharamkan?


DR KAMARUL ZAMAN HAJI YUSOFF, HARAKAH

Dua pemuka Cina sudah bersuara mendesak kerajaan mengharamkan Dong Zong dan Jiao Zong.

Seorang daripadanya, Firdaus Wong Wai Hung, menulis: “Mungkin sudah tiba masanya kerajaan mengharamkan Dong Jiao Zong yang rasis ini sebelum keadaan menjadi lebih parah.”

Seorang lagi, Mohd Ridhuan Tee Abdullah, pula menulis: “Saya merayu kepada PM supaya segera mengharamkan Dong Zong, Jiao Zong dan Dong Jiao Zong yang sangat rasis sebelum sesuatu bencana kaum berlaku kepada negara tercinta ini.”

Seorang pemuka Cina lain, Dr Ang Ming Chee, malah pernah menanyakan soalan dalam tesis PhD beliau dari National University of Singapore mengapa Kerajaan Malaysia hingga kini belum mengharamkan Jiao Zong dan Dong Zong.

Saya juga ingin mengulangi soalan Dr Ang Ming Chee: Mengapa Kerajaan Malaysia hingga kini belum mengambil apa-apa langkah untuk mengharamkan Jiao Zong dan Dong Zong tatkala Perdana Menterinya sendiri sudah bersuara?

Dua hari berturut-turut, iaitu pada 12 dan 13 Ogos 2019, Tun Dr Mahathir Mohamad menyelar keras Dong Zong dengan menyifatkannya sebagai rasis.

Bila ditanya apakah apa yang dilakukan oleh Dong Zong melanggar undang-undang, Tun Dr Mahathir berkata “jika ia terus menghasut rakyat untuk bergaduh sesama sendiri sudah tentu ia melanggar undang-undang”.

Bila ditanya apakah beliau berpendapat Dong Zong perlu diharamkan, Tun Dr Mahathir berkata ia bergantung kepada keputusan pihak berkuasa seperti pihak polis.

Semalam, Tun Dr Mahathir sekali lagi memberi amaran bahawa Kongres Pertubuhan China anjuran Dong Jiao Zong di Kajang pada 28 Disember ini akan mendatangkan huru-hara dan ketidakstabilan (chaos and instability).

Peliknya mengapa pihak berkuasa seperti pihak polis dan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan belum kedengaran melakukan siasatan dan bertindak ke atas Dong Zong dan Jiao Zong.

Paling jelas adalah kuasa Pendaftar Pertubuhan untuk membatalkan pendaftaran mana-mana pertubuhan di bawah Seksyen 13 (1) (b) dan (c) Akta Pertubuhan 1966, iaitu:

Seksyen 13 (1) (b):     Atas perintah yang dibuat oleh Menteri di bawah Seksyen 5.

Seksyen 13 (1) (c) (ii):     Bahawa pertubuhan itu mungkin digunakan bagi maksud-maksud yang menyalahi undang-undang atau bagi maksud-maksud yang memudaratkan atau yang bertentangan dengan keamanan, kebajikan, ketenteraman atau akhlak di dalam Persekutuan.

Seksyen 13 (1) (c) (ii):     Bahawa pertubuhan itu adalah berusaha hendak mencapai tujuan-tujuan lain daripada tujuan-tujuan yang ia didaftarkan.

Paling mudah adalah perintah Menteri di bawah Seksyen 5 (1) Akta Pertubuhan 1966:     “Maka adalah sah di sisi undang-undang bagi Menteri, menurut budi bicaranya yang mutlak, mengisytiharkan sebagai menyalahi undang-undang mana-mana pertubuhan yang pada pendapatnya adalah atau sedang digunakan bagi maksud yang memudaratkan atau yang bertentangan dengan kepentingan keselamatan Persekutuan, ketenteraman awam atau akhlak.”

Sangat terang dan nyata, seperti disebut oleh Tun Dr Mahathir sendiri, bahawa apa yang dibuat oleh Dong Zong dan Jiao Zong adalah memudaratkan dan bertentangan dengan kepentingan keselamatan Persekutuan dan ketenteraman awam.

Sangat terang dan nyata juga bahawa apa yang dibuat oleh Dong Zong dan Jiao Zong adalah bercanggah dengan tujuan-tujuan yang ia didaftarkan, termasuk kononnya ia bertujuan untuk “memupuk keharmonian dan perpaduan antara kaum”.

Petisyen pengharaman yang digerakkan oleh Gerakan Pengundi Sedar (GPS) juga sudah mencecah 214 ribu tandatangan manakala petisyen pengharaman yang digerakkan oleh Kelab Bunga Raya (KBR) pula sudah mencecah 119 ribu tandatangan.

Apa lagi yang mahu ditunggu? Takkanlah mahu ditunggu Melayu mengamuk lagi?

 



Comments
Loading...