Kenapa Guan Eng berbohong?


(Malaysia Gazette) – Lim Guan Eng didakwa berbohong dan sengaja mengapi-apikan sentimen perkauman apabila membuat kenyataan bukan Melayu dan bukan Islam menjadi sasaran dan tiada tindakan ke atas sekolah yang menyanyikan lagu Negaraku dalam bahasa Arab.

Sedangkan realitinya pihak polis juga sedang menyiasat kes lagu Negaraku dalam bahasa Arab seperti mana kes nyanyian lagu kebangsaan dalam bahasa Mandarin.

Kedua-dua kes itu disiasat di bawah Seksyen 8(3) Akta Lagu Kebangsaan 1968 serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Pemerhati politik, Dr Novandri Hasan Basri mempersoalkan kenapa anak Lim Kit Siang ini sanggup membohongi perwakilan DAP negeri dan rakyat.

“Kenapa beliau sengaja mengaitkannya dengan sentimen perkauman dan keagamaan sedangkan kedua-dua kes disiasat?

“Dan sampai bila DAP mahu terus mengapi-apikan rasisme melampau yang boleh menimbulkan ketegangan di antara kaum di negara ini?,” soalnya.

Beliau turut bertanya apakah DAP sengaja mahu mencetus keraguan dan tidak selesa sesama kaum di negara ini seperti yang DAP lakukan sebelum ini hingga berlakunya peristiwa berdarah pada 13 Mei 1969.

Sementara itu, Dr Kamarul Zaman Yusoff juga mempersoalkan kenyataan Guan Eng yang menyebut “ada ketidakpuasan hati di kalangan masyarakat bukan Islam bahawa mereka disasarkan tanpa sebab munasabah dan adil” dan “nyanyian Negaraku dalam Bahasa Mandarin sehingga ada yang buat laporan polis, polis siasat dengan sepenuhnya”.

Katanya, Setiausaha Agung DAP itu juga bertanya: “Mengapa bila Negaraku dinyanyikan dalam Bahasa Mandarin jadi isu, Negaraku dinyanyikan dalam Bahasa Arab tak jadi isu?”

Soal Kamarul, takkan Guan Eng tidak tahu sedangkan pada 11 Disember lalu Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah PDRM, Datuk Huzir Mohamed sudah mengeluarkan kenyataan media bagi menjelaskan perkara tersebut

“Disebut bahawa kedua-dua isu “nyanyian Negaraku dalam bahasa Mandarin” dan isu “nyanyian Negaraku dalam bahasa Arab” telah dan sedang disiasat oleh PDRM.

“Bila kedua-dua isu mendapat layanan sama masyarakat dan PDRM mengapakah masih mahu didakwa “masyarakat bukan Islam disasarkan tanpa sebab munasabah dan adil?,” ujarnya.

 



Comments
Loading...