Mahasiswa, jangan contohi Rafizi Ramli


IBARAT menanam tebu di tepi bibir, tebunya tiada, bibirnya berkudis. Setelah puas Rafizi Ramli memberi formula dan janji-janji, akhirnya pelaksanaannya tiada malah parti dan kerajaan kian huru-hara. Susuk tubuh Rafizi Ramli memang terkenal dengan seorang yang aktif dalam dunia politik. Melonjak naik dengan idea dan formulanya berkenaan pembangunan dan kos sara hidup.

Akhirnya, segala apa yang difikirkan dan dilontarkan oleh Rafizi Ramli langsung tidak mendatangkan hasil. Harga minyak juga makin meningkat dan tidak turun ke nilai yang dijangkakan olehnya. Keadaan ini menjadi bukti segala idea dan formulanya langsung tidak memberi apa-apa kesan kepada rakyat.

Lebih mengejutkan, dikhabarkan Rafizi Ramli telah membuat keputusan untuk akhiri dunia politik dan ingin menceburi bidang teknologi.

Inilah yang dikatakan sebagai pemimpin yang tidak bertanggungjawab. Pada pandangan saya sebagai seorang mahasiswa, kepimpinan Rafizi Ramli merupakan kepimpinan yang tidak patut dicontohi oleh mahasiswa dan anak muda. Keputusan yang dibuat oleh Rafizi Ramli ini akan memberi kesan kepada dua aspek utama.

Tidak bertanggunjawab terhadap parti

Di saat partinya dalam keadaan yang tenat, bergaduh sana sini, Rafizi dengan mudah mengambil tindakan untuk tidak lagi berkecimpung dalam dunia politik. Ke mana beliau disaat partinya tidak berada dalam keadaan yang stabil ? Siapa yang akan menjana idea dan formula yang akan menyelesaikan segala isu pergaduhan sepertimana yang telah berlaku di Kongres Keadilan baru-baru ini?

Tidak bertanggungjawab terhadap rakyat

Formula yang difikirkan dan dicanangkan olehnya sebelum ini bukan hanya tidak dilaksanakan malah tiada tindakan susulan yang diambil. Sekiranya benar formula tersebut boleh mendatangkan hasil kepada rakyat terutamanya, mengapa tidak dihantar idea dan formula tersebut ke kementerian yang terlibat? Kemungkinan juga boleh dihantar ke kementerian Rafizi? Tapi, janganlah sampai bertumbuk pula.

Oleh itu, sebagai mahasiswa dan anak muda, bukan hanya idea yang kita perlukan, pastikan segala idea dan manifiesto yang dilaungkan dapat membantu mereka yang memerlukan.

Terakhir, tindakan yang dilakukan oleh Rafizi Ramli ini wajar dijadikan teladan oleh setiap mahasiswa. Pertama, sekiranya sudah tekad untuk berada di bawah mana-mana parti atau badan organisasi, belajarlah untuk bertanggungjawab dengan amanah yang telah diberikan seperti menunaikan manifiesto yang dilaungkan sebelum memenangi apa-apa kedudukan atau jawatan. Jadilah pemimpin yang bukan hanya mempunyai idea, tetapi mempraktikkan apa yang telah dfikirkan demi manfaat buat keseluruhan mahasiswa atau anak muda. Pastikan idea tersebut dapat dilaksanakan dan bukan hanya bersifat idealistik semata-mata.

Kedua, sekiranya telah diberi kepercayaan oleh mahasiswa atau masyarakat, perbanyakkan aktiviti yang melibatkan masyarakat. Lebih-lebih lagi mahasiswa di Universiti Kebangsaan Malaysia kerana sesuai dengan penubuhan universiti tersebut melalui hasrat rakyat. Maka wajar sekiranya mahasiswa memperbanyakkan lagi aktiviti-aktiviti bersifat kemasyarakatan dan itulah semangat demokrasi sebenar “dari rakyat untuk rakyat”.

Akhir kata, jadilah sebaik-baik pemimpin. Janganlah sesekali berputus asa dengan apa jua halangan di hadapan.

Kata Hamka menerusi bukunya yang berjudul Peribadi, “Bebanmu akan berat. Jiwamu harus kuat. Tetapi aku percaya langkahmu akan jaya. Kuatkan peribadimu.”

Selamat berjuang mahasiswa dan anak muda.

Najihah Abd Razak,
Mahasiswa UMNO UKM,
Kelab Mahasiswa UMN0

 



Comments
Loading...