Isu jawi: Desakan Dong Zong jahat, tak hormat kementerian


(Isaweb) – Desakan Persekutuan Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong) supaya lembaga sekolah dibenarkan membuat keputusan dalam isu pembelajaran tulisan jawi di sekolah vernakular, disifatkan sangat jahat dan tidak menghormati Kementerian Pendidikan.

Ahli Jawatankuasa Pusat Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), Muhammad Lukman Al Hakim Muhammad berkata, tindakan itu membuktikan bahawa kumpulan pendesak Cina berkenaan sangat konsisten dengan pendirian menentang apa sahaja pendekatan bagi mengukuhkan identiti kenegaraan dalam menyemai perpaduan antara kaum serta integrasi nasional.

Bukan sahaja tidak menghormati keputusan kementerian, malah katanya, Dong Zong juga jelas bersikap besar kepala dan sombong dengan sewenang-wenangnya menekan serta mengugut pihak berwajib dalam isu itu.

“Mentang-mentanglah mendapat sokongan para pimpinan DAP dan MCA, mereka rasa mereka kuat dan tidak boleh digugat oleh sesiapa termasuk Menteri Pendidikan dan Perdana Menteri Malaysia.

“Fenomena ini memberikan mesej penting kepada seluruh rakyat Malaysia bahawa Dong Jiao Zong menjadi platform perjuangan bangsa Cina untuk bersepakat mempertahankan sistem persekolahan vernakular yang bercanggah dengan Perlembagaan negara,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Terdahulu, Dong Zong dan kumpulan pendidikan Cina lain membangkitkan kembali isu tulisan jawi apabila memaklumkan mahu menghantar memo kepada Kementerian Pendidikan untuk menuntut supaya lembaga sekolah dibenarkan membuat keputusan dalam isu pembelajaran tulisan jawi di sekolah rendah vernakular.

Presiden Dong Zong, Tan Tai Kim dilaporkan berkata, mereka tidak berpuas hati apabila lembaga sekolah tidak tersenarai sebagai pembuat keputusan dalam pengajaran jawi di sekolah vernakular tahun depan, walaupun sudah lima pertemuan diadakan dengan kementerian.

Sebelum ini, Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik mengumumkan bahawa jemaah menteri memutuskan pengenalan tulisan khat ini akan dimuatkan sebanyak tiga muka surat sahaja dalam buku teks.

Katanya, jemaah menteri juga menetapkan supaya pengenalan tulisan khat dilaksana secara pilihan dengan guru diberikan kuasa untuk membuat keputusan mengenai kaedah pelaksanaannya di bilik darjah masing-masing.

Mengulas lanjut, Muhammad Lukman berkata, pendekatan kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang sangat lunak dengan kumpulan rasis berkenaan juga menjadi antara faktor Dong Zong semakin kuat dan berani mendesak.

“Kerajaan harus bertegas dan tidak melayan kerenah mereka ini. Identiti kenegaraan dan perpaduan kaum adalah lebih utama untuk dipupuk daripada melayan desakan Dong Jiao Zong yang amat tidak berasas ini,” katanya.

 



Comments
Loading...