RASMI: DATUK SALLEHHUDDIN BUKAN LAGI KSU MOA


Ini adalah kenyataan yang beliau keluarkan tadi.

Saya tertarik dengan ayat “semoga ada sinar pencerahan” yang beliau luahkan yang menggambarkan beliau sendiri masih dalam kegelapan mengenai punca sebenar khidmat beliau di MOA ditamatkan.

Apa pun, The Malaysian Insight melaporkan penamatan ini adalah berpunca daripada isu tender NAFAS.

KENYATAAN DATUK SALLEHHUDDIN

Assalamu’alaikum dan salam sejahtera semua.

Dengan nama Allah yang maha pemurah lagi maha penyayang, setiap yang bermula pasti ada pengakhirnya. Suka saya maklumkan bahawa perkhidmatan saya sebagai Ketua Setiausaha Kementerian telah tamat bermula pada 22 November 2019.

Sepanjang tempoh perkhidmatan saya di MOA bermula pada Februari 2014 sebagai SUB Pembangunan diikuti sebagai KP LKIM bermula Mei 2015, TKSU Dasar bermula Februari 2016 dan sebagai KSU pada 2 Julai 2018, saya telah memberikan yang terbaik dalam memastikan MOA menjadi satu kementerian yang dipandang tinggi dan ditadbir urus dengan baik.

Di samping itu, tanggung jawab untuk menjamin sekuriti makanan, meningkatkan pendapatan golongan sasar dan pendapatan negara telah kita semua gembeling dalam satu team MOA yang kukuh. Saya tidak pernah kesal apatah merasa penat dalam menyumbang khidmat bakti dan terlah memberikan keseluruhan masa dan tenaga saya demi melaksanakan tanggung jawab yang diberikan. Alhamdulillah, saya telah dikurniakanNya tenaga dan kesihatan untuk terus bergerak 24/7, 365 hari setahun non-stop.

Kita hanya merancang, Dia yang menentukan. Apa yang terjadi adalah di atas kehendaknya dan ada hikmah di sebaliknya. Saya redha dan menerima keputusan ini dan mendoakan semoga ada sinar pencerahan. Hanya Allah yang mengetahui dan masa akan menentukan segala-galanya. Kita kerja kerana Allah dan rezeki ada di mana-mana.

Saya berharap kepada rakan-rakan semua supaya terus memberikan perkhidmatan terbaik kepada MOA dan sokongan tidak berbelah bagi kepada kerajaan dan YB Menteri, Timbalan Menteri serta bakal KSU kelak.

Semoga kita bertemu lagi pada masa akan datang. Selamat maju jaya.

Wassalam

DATO’ MOHD SALLEHHUDDIN BIN HASSAN

 



Comments
Loading...