Pembangkang persoal pemberian projek input tani kepada pertubuhan peladang


(FMT) – Pembangkang mempersoalkan pemberian projek pembekalan input pertanian sektor padi kepada Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas), melibatkan peruntukan RM1.4 bilion, mendakwa ia diberi secara rundingan terus walaupun tewas dalam persaingan tender terbuka.

Wee Ka Siong (BN-Ayer Hitam) mendakwa terdapat suatu surat bertarikh 7 Nov 2019 daripada seorang menteri kepada perdana menteri memohon melantik Nafas secara rundingan terus bagi tempoh 3 tahun dari 2020 hingga 2022.

Katanya, peruntukan RM1.4 bilion itu daripada jumlah peruntukan RM1.55 bilion yang diperakukan untuk subsidi dan insentif subsektor padi dan beras untuk 2020.

“Sila sahkan surat itu. Kalau surat itu tidak betul, sila buat laporan polis,” kata Wee kepada Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Salahuddin Ayub di Dewan Rakyat hari ini, ketika membahaskan Rang Undang-undang Perbekalan 2020 bagi peringkat jawatankuasa membabitkan kementerian itu.

Wee mahu Salahuddin sendiri menjelaskan kenapa harus membatalkan syarikat-syarikat yang sudah terpilih melalui proses tender terbuka, kenapa projek itu harus dianugerahkan kepada Nafas, dan kenapa pemilihan itu harus secara rundingan terus.

“Adakah penganugerahan kontrak bernilai RM1.4 bilion kepada Nafas ini ada kaitan dengan pimpinan Nafas, yang mana kita sedia maklum ahli jemaah pengarah Nafas itu sendiri terdiri daripada pemimpin parti politik, Amanah?” katanya.

Beliau juga mempersoalkan kenapa Salahuddin mahu melibatkan perdana menteri dalam hal pemberian projek itu.

“Adakah menteri tidak mempercayai keputusan yang telah pun dipersetujui oleh lembaga perolehan kementerian sendiri?” katanya.

 



Comments
Loading...