PM, ahli politik tak wajar komen kes Najib, kata pemimpin PAS


(FMT) – Setiausaha Agung PAS, Takiyuddin Hassan berkata mana-mana pihak termasuk perdana menteri harus menjauhkan diri daripada mengulas kes Najib Razak yang semalam diperintah membela diri terhadap tujuh pertuduhan berkaitan SRC International Sdn Bhd.

“Bukan sahaja PM, macam saya sendiri ataupun mana-mana orang politik bila bercakap mengenai ‘rule of law’ tentang pengasingan kuasa.

“Contohnya kita dari legislatif, dan PM atau menteri mereka tergolong juga dalam eksekutif.

“Jadi bila keputusan dibuat oleh kehakiman, tidak perlu ada komen yang boleh dilihat sebagai campur tangan daripada badan itu,” kata beliau ketika ditemui di lobi bangunan Parlimen, hari ini.

Ini susulan kenyataan Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad, semalam yang menyebut beliau turut terkejut selepas mendapati bekas perdana menteri itu terkejut dirinya diminta membela diri dalam tuduhan-tuduhan tersebut.

Mahathir dilaporkan berkata seluruh dunia tahu bahawa bekas perdana menteri itu bersalah namun perlu mengikut kedaulatan undang-undang.

Mengulas lanjut, Takiyuddin berkata perbuatan mengeluarkan pendapat dan ulasan yang dilakukan oleh ahli politik pembangkang dan kerajaan tidak patut berlaku melainkan penggunaan saluran yang betul.

“Kita kena pergi ke mahkamah, kalau tidak puas hati dengan keputusan itu,” katanya.

Oleh itu kata beliau, ramai pihak berpandangan terdapat unsur campur tangan dalam urusan mahkamah dalam negara.

“Undang-undang ini penting kerana keadilan itu bukan sahaja perlu ditegaskan, tapi mesti dilihat keadilan itu ditegakkan.

“Bagi saya keputusan mahkamah tidak muktamad, tidak sepatutnya mana-mana pihak yang dilihat ada kepentingan membuat apa-apa komen.”

Semalam, Mahkamah Tinggi memerintahkan Najib membela diri ke atas tujuh pertuduhan menyeleweng RM42 juta daripada dana SRC International Sdn Bhd.

 



Comments
Loading...